'La Wei' fasih berbahasa Kantonis, Mandarin

Iklan
Mohd Rawi

IPOH - Fasih berbahasa Kantonis dan Mandarin menjadikan bapa lima anak ini sering disalah sangka individu yang mempunyai garis keturunan Cina.

Hakikatnya, Mohd Rawi Abdullah, 59, lahir dari keluarga berbangsa India sebelum dirinya memeluk Islam pada usia 27 tahun.

Iklan
Iklan

Menurut Mohd Rawi, pengalaman hidup dibesarkan dalam komuniti Cina di sebuah perumahan pangsa di bandar Ipoh banyak mempengaruhi pertuturannya.

Kepetahan Mohd Rawi bertutur dalam Kantonis dan Mandarin membuatkan hubungannya rapat dengan komuniti Cina.

Menurutnya, ketika itu daripada 500 unit rumah yang ada, 495 unit didiami keluarga Cina sementara selebihnya bangsa lain termasuk keluarganya.

Iklan

"Walaupun majoriti penghuni masyarakat Cina, tidak timbul langsung soal ketidaksefahaman atau perselisihan. Kami dapat hidup secara harmoni.

"Saya berkawan, bermain malah makan juga bersama kalangan anak Cina. Saya juga punya keluarga angkat Cina dan tidak kekok membantu mereka dalam urusan harian.

Iklan

Selain Kantonis dan Mandarin, anak kelahiran Ipoh yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Coronation Park dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Putera ini turut menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik.

Bagi bahasa Tamil pula, hanya sesetengah perkataan yang dapat difahami dan kebiasaan apabila disapa masyarakat India, dia akan membalasnya dengan bahasa Melayu atau Inggeris kerana tidak fasih.

Mohd Rawi lebih dikenali dengan panggilan 'La Wei' dalam kalangan rakan dan kenalan rapatnya.

Beliau yang aktif dalam persatuan dan politik berkata, kepetahannya dalam dialek Cina itu membuatkan dirinya lebih dikenali dengan panggilan 'La Wei' yang bermaksud Rawi jika disebut dalam bahasa Cina.

Sebagai anak Malaysia, Mohd Rawi akui bangga kerana dapat menguasai bahasa lain menjadikan dirinya lebih mudah berinteraksi dengan semua lapisan masyarakat.

Mohd Rawi turut aktif membantu kelangsungan aktiviti persatuan komuniti Cina.

Malah, kelebihannya itu banyak membantu tugas seliaannya sebagai Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak menyelesaikan isu-isu berkaitan masyarakat antaranya melibatkan pinjaman along, sindiket penipuan kerja serta masalah keluarga.

"Saya juga pernah dijemput menjadi pengacara majlis dan memberikan ucapan dalam program melibatkan komuniti Cina dianjurkan beberapa syarikat swasta dan NGO.

"Tidak terkecuali membantu kempen pilihan raya di kawasan-kawasan pengundi Cina," katanya.