TUMPAT - Seorang imam di Masjid Teluk Renjuna di sini sanggup meredah arus sungai setiap hari sejak sembilan tahun lalu untuk mengimamkan solat jemaah di masjid itu.
Mohd Amin Zulkahar Saari, 35, yang tinggal di Jubakar Pantai akan memandu kereta antara 15 hingga 20 kilometer (km) untuk ke Jeti Kok Pasir sebelum menaiki bot ke Pulau Teluk Renjuna.
Menurut Mohd Amin Zulkahar, setiap empat kali seminggu beliau memandu kereta pada awal pagi sebelum azan Subuh dan kemudian meredah sungai untuk ke masjid itu.
"Dari jeti berkenaan saya akan memandu sendiri bot kira-kira 10 minit untuk sampai ke masjid.
Mohd Amin Zulkahar juga bersyukur kerana isterinya Norhafiza Zanuddin, 35, memahami tugasnya itu.
Bagaimanapun katanya, setiap tiga hari dalam seminggu, beliau akan pergi ke masjid sebelum solat Zohor dan pulang pada waktu sama.
Alah bisa tegal biasa, sebagai imam yang sudah lama bertugas di masjid berkenaan, Mohd Amin Zulkahar memahami situasi cuaca setiap tahun terutama pada musim tengkujuh.
Jelas beliau, dalam keadaan cuaca tidak menentu biasanya beliau akan menyediakan persalinan pakaian yang diletakkan di masjid itu bagi memudahkannya menjalankan tugas dengan selesa.
Selain cuaca katanya, cabaran lain yang terpaksa dihadapi ialah kerosakan bot ketika sedang bertugas namun akan diatasi sediri jika kerosakan itu kecil.
Jelas beliau lagi, paling dibimbangi apabila bot ditenggelami air kerana hujan lebat yang mengakibatkan kos tinggi untuk pembaikannya.
"Selalunya pada musim tengkujuh saya dan pemilik bot lain akan bersedia kerana ada ketikanya kami terpaksa turun ke jeti walaupun pada jam 2 atau 3 pagi untuk menimba air di dalam bot bagi mengelakkannya tenggelam," katanya.
Beliau memberitahu, bot yang disediakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dua tahun lalu memudahkannya berulang-alik ke pulau itu.
"Alhamdulillah, sebelum ini saya menggunakan bot sendiri dan akan menggunakan khidmat bot penambang jika memerlukan masa agak lama untuk dibaiki," katanya.