KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki berputih mata apabila wang pinjaman peribadinya sebanyak RM120,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud secara bersemuka di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki yang bekerja di unit perubatan farmasi berusia 28 tahun itu telah berurusan dengan individu dikenali berkaitan pelaburan pada April lepas.
"Pada 3 Mei lepas, mangsa telah berbincang dengan dua wanita di mana salah seorang daripadanya merupakan 'dealer' dalam pelaburan tersebut.
"Pada masa yang sama, mangsa telah menyerahkan wang sebanyak RM138,000 secara berperingkat melalui serahan tangan kepada wanita tersebut sebagai modal dalam pelaburan tersebut di mana dijanjikan keuntungan sebanyak RM286,800.
"Pada bulan Jun sehingga Ogos lepas, mangsa telah mendapat semula wang dilaburkan tersebut iaitu sebanyak RM18,000," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun, Azli berkata, mangsa sehingga sekarang masih tidak dapat sepenuhnya wang miliknya yang dilabur dalam pelaburan berkenaan.
"Mangsa yang berasa diperdaya kerana mengalami kerugian sebanyak RM120,000 telah membuat laporan polis pada Khamis lalu.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.