GOPENG - Empat penumpang termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran dan treler di Kilometer 295.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, bas Persiaran tersebut membawa 41 peserta rombongan dalam perjalanan dari Melaka ke Kedah.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila bas terbabit melanggar belakang treler mengakibatkan kesan remuk di bahagian hadapan.
"Kejadian tidak melibatkan mangsa yang tersepit. Kesemua mangsa yang berada dalam bas berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum bomba tiba di lokasi.
"Pemeriksaan kemudiannya mendapati, empat daripada penumpang bas tersebut iaitu tiga wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan mengalami cedera ringan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, semua mangsa cedera telah diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, dalam kejadian itu, pemandu bas dan treler masing-masing tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Operasi yang turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai tamat pada jam 5.01 pagi," katanya.