PETALING JAYA – Di tengah-tengah cabaran ekonomi dan kos sara hidup yang semakin meningkat, GXBank tampil sebagai pendukung kepada pelajar-pelajar yang bercita-cita tinggi tetapi dibebani dengan latar belakang kewangan yang mencabar.
Bank digital pertama Malaysia ini baru sahaja memperkenalkan Impian Gigih Biasiswa, sebuah inisiatif yang bertujuan membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.
Program yang dilancarkan pada Mac lalu berjaya menarik perhatian ramai, namun hanya lapan pelajar bertuah dipilih setelah melalui proses saringan dan temuduga.
GXBank benar-benar menumpukan kepada pelajar-pelajar yang berasal dari keluarga dengan pendapatan kasar bulanan RM8,000 ke bawah, memberikan mereka peluang untuk mengejar cita-cita tanpa perlu memikirkan tentang beban kewangan.
Sokongan penuh untuk pelajar cemerlang
Ketua Turus GXBank, Hildah Hamzah, dalam ucapannya di Majlis Penyampaian Sijil Biasiswa Impian Gigih yang berlangsung di Ibu Pejabat GXBank di Bandar Utama, menyatakan bahawa biasiswa ini bukan sekadar bantuan kewangan – penerima biasiswa juga akan menerima peluang pembangunan diri - pendedahan kepada program imersi luar negara, kursus membina daya tahan dan kemahiran bersedia untuk masa depan, serta program latihan industri dengan GXBank.
Selain menanggung yuran pengajian sepenuhnya, GXBank turut menyediakan elaun sara hidup sebanyak RM1,000 sebulan, peluang mengikuti program matrikulasi, serta pendedahan di luar negara.
"Kami di GXBank mahu lebih daripada sekadar membantu pelajar memasuki universiti. Kami mahu mereka pulang dengan pengalaman yang mengubah hidup, bukan hanya untuk diri mereka sendiri, tetapi juga untuk keluarga dan komuniti mereka," kata Hildah dengan penuh semangat.
Tambahnya lagi, penerima biasiswa juga tidak terikat dengan syarat-syarat tertentu seperti perlu berkhidmat dengan GXBank selepas tamat pengajian.
"Ini bukan satu kontrak, ini adalah peluang. Jika mereka mahu bekerja dengan kami, pintu sentiasa terbuka, tetapi jika mereka memilih laluan lain, kami tetap menyokong," katanya.
Dari Sabah ke Bangi: Kisah inspirasi penerima biasiswa
Salah seorang penerima biasiswa, Nimexsionre Sulani, 19, pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mengakui bahawa peluang ini adalah rezeki yang tidak disangka-sangka.
Berasal dari Sabah, Nimex, seperti mana rakan-rakan sekampungnya, berdepan cabaran kewangan yang besar, namun semangat untuk berjaya tidak pernah pudar.
"Saya amat bersyukur kerana GXBank memberikan saya peluang ini. Empat tahun akan datang saya akan pastikan saya membanggakan keluarga saya,” katanya. Nimex turut bercadang untuk kekal aktif dalam aktiviti kampus dan berhasrat menjadi pemimpin pelajar suatu hari nanti.
Minat dalam data sains, Penny temui peluang emas
Kan Penny, 19, seorang lagi penerima biasiswa yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang Data Sains di Universiti Malaya, menceritakan bagaimana minatnya dalam bidang kewangan dan sains mendorongnya untuk memohon biasiswa ini.
"Saya terjumpa maklumat mengenai program biasiswa ini dalam sebuah podcast. Selepas itu, saya terus melayari Instagram GXBank dan dari situ saya mula mengisi permohonan,” katanya.
Bagi Penny, biasiswa ini bukan sekadar jalan untuk mendapatkan pendidikan tinggi, tetapi juga pintu untuk menyumbang semula kepada komuniti pada masa akan datang.
Masa depan AI di tangan Thanakesh
Bagi S. Thanakesh Sri Rau, 19, bidang kecerdasan buatan (AI) bukan sekadar trend teknologi, tetapi masa depan.
Pelajar dari Bentong, Pahang ini kini menuntut dalam bidang AI di Universiti Malaya dan bercita-cita untuk menjadi pakar dalam bidang tersebut.
"Sejak kecil saya memang minat teknologi, komputer, dan kini AI. Saya percaya bidang ini adalah masa depan kita, dan saya mahu menjadi sebahagian daripadanya,” katanya yang sebelum ini menuntut di Kolej Matrikulasi Pahang.
Thanesh turut berkongsi bahawa ibunya, seorang penjahit, adalah sumber inspirasi terbesarnya dalam mencapai impian ini.
Menyentuh hati rakyat melalui khidmat guaman
Bagi Nur Alya Zulaikha Abdullah, 19, pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di UiTM Shah Alam, impiannya bukan sekadar menjadi peguam biasa, tetapi seseorang yang mampu memberikan khidmat guaman percuma kepada golongan kurang mampu.
"Saya mahu semua orang, tak kira latar belakang, mempunyai akses kepada keadilan. Saya akan berusaha untuk memastikan mereka yang tidak mampu tetap mendapat khidmat guaman yang diperlukan,” katanya penuh tekad.
GXBank: Lebih dari sekadar bank
GXBank bukan sahaja mencatatkan kejayaan sebagai bank digital pertama di Malaysia, tetapi turut menunjukkan komitmennya terhadap pembangunan sosial dan pendidikan.
Dengan kira-kira sejuta pelanggan sejak pelancarannya pada September tahun lalu, GXBank terus mencipta ruang untuk membantu rakyat Malaysia menggapai impian mereka.
Impian Gigih Biasiswa adalah bukti bahawa GXBank bukan sekadar menambah nilai dalam sektor perbankan, tetapi juga menjadi pemangkin kepada perubahan sosial, melahirkan lebih ramai graduan yang mampu menyumbang kepada masa depan negara.