Temasya Oghang Kedah rancak sektor pelancongan

Iklan
Salleh (dua dari kiri) merasmikan Majlis Perasmian Program Pelancongan Budaya sempena Temasya Oghang Kedah 2024 di pekarangan Stadium Darul Aman pada Jumaat.

ALOR SETAR - Penganjuran Temasya Oghang Kedah (TOK) 2024 bertepatan dengan usaha kerajaan negeri untuk merancakkan sektor pelancongan di Kedah.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Salleh Saidin berkata, TOK 2024 menghimpunkan keunikan warisan seni budaya yang menjadi kebanggaan anak jati Kedah.

Iklan
Iklan

"TOK adalah manifestasi rasa cinta, penghargaan dan kebertanggungjawaban terhadap segala warisan seni budaya yang telah diturunkan generasi terdahulu,yang kita perlu martabatkan.

"Sekarang masih berlangsung program ‘Mai Singgah Alor Setar 2024’ dan TOK 2024 sudah tentu memberi suntikan tambahan ke arah memeriahkan lagi program tersebut dan kedua-dua program ini secara langsung menambahkan kerancakan kepada usaha-usaha mempromosi Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025) dan Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.

Iklan

Beliau berkata sedemikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Program Pelancongan Budaya sempena Temasya Oghang Kedah 2024 di Perkarangan Stadium Darul Aman di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah; Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Ab Ghani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Muhammad Amri Wahab.

Iklan

Hadir sama, Yang Dipertua Kumpulan Bangsawan Sri Kedah, Zainol Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Nabilah Bahrin Group Sdn Bhd (NB Group), Siti Nabilah Dol Bahrin dan Yang Dipertua Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Negeri Kedah, Ahmad Akibi Abdullah.

Salleh berkata, beliau berharap jumlah pengunjung yang hadir akan mencapai sasaran memperoleh pulangan pelaburan sebanyak RM250,000 melalui penganjuran TOK 2024 itu.

Beliau menambah, kehadiran pengunjung akan menjadi cerminan pada sokongan yang berterusan terhadap usaha-usaha menggemilangkan industri pelancongan di negeri ini.

"Sokongan ini mengukuhkan lagi keazaman dan iltizam saya bagi memastikan usaha memperkasakan sektor pelancongan di Kedah mencapai matlamat sejajar dengan misi besar Tahun Melawat Kedah 2025," katanya.

Sementara itu,Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, Temasya Oghang Kedah merupakan program pelancongan budaya yang mengangkat serta melestarikan seni budaya masyarakat Kedah.

"Kekuatan untuk merealisasikan program ini didasari hasrat untuk memulihara dan mengekalkan warisan seni budaya negeri Kedah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Program sebegini adalah merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memberi lebih banyak peluang kepada penggiat-penggiat seni, budaya serta pemain industri pelancongan untuk mengetengahkan produk seni budaya dan pelancongan tempatan," katanya.

Beliau menambah, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui usul Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) menyediakan insentif berbentuk sokongan bagi menggalakkan perlaksanaan aktiviti seni san budaya.

Sehubungan itu, beliau berharap, pihaknya berharap semua program-program ini dapat menyemarakkan seni budaya dan pelancongan Kedah di peringkat lebih tinggi,sekaligus mendukung dasar kebudayaan kebangsaan.

Menurut Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Haris berkata, secara keseluruhan, TOK 2024 bukan sahaja bertujuan untuk melestarikan warisan budaya Kedah, tetapi juga untuk memperkukuhkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.

Kata beliau, program ini menggalakkan penyertaan komuniti tempatan, termasuk penggiat seni dan usahawan kecil untuk menyumbang kepada usaha mempromosikan warisan budaya negeri.

"la juga sebagai platform utama dalam mengekalkan identiti budaya tempatan selain mengukuhkan seni dan budaya, program ini juga menggalakkan perpaduan komuniti melalui penyertaan aktif penggiat seni, usahawan tempatan, dan masyarakat setempat selain dapat mempromosikan Kedah sebagai destinasi pelancongan budaya, selari dengan Tahun Melawat Kedah 2025.

"Program ini turut menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 250,000 orang," katanya.

TOK 2024 yang berlangsung selama empat hari bermula 7 November dianjurkan MOTAC melalui Kumpulan Bangsawan Sri Kedah dengan kerjasama kerajaan negeri, JKKN Kedah, Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Kedah dan Nabilah Bahrin Group Sdn Bhd.

Antara kelainan utama TOK 2024 adalah pengiktirafan Malaysia Book of Records: Pengiring Tetamu Kehormat Teramai dengan jumlah keseluruhan 1931 pesilat.

TOK 2024 turut dimeriahkan dengan persembahan Tarian Tradisional Inang Ghenek,persembahan artis jemputan,pameran tanjak Negeri Kedah,demonstrasi masakan, sukan rakyat,permainan tradisional,segmen interaktif seni 'Drum Circle' dan Santapan Rohani Malam Kedah Berselawat Serata-Rata.