SHAH ALAM – Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (NBKK) 2024 perlu dirai oleh seluruh keluarga bagi mengerat serta memperkukuh hubungan kekeluargaan yang menjadi kunci kepada masyarakat harmoni.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah berkata, sambutan NBKK 2024 adalah salah satu daripada teras strategi Dasar Keluarga Negara yang turut menekankan pelaksanaan advokasi mengutamakan kesejahteraan institusi kekeluargaan.
Sambutan NBKK 2024 akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 9 dan 10 November di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai objektif sambutan, Abdul Shukur memberitahu, antara matlamat pelaksanaan itu adalah untuk mendidik masyarakat dalam memberi tumpuan kepada momen indah bersama keluarga bermula daripada ikatan kasih sayang yang erat dan menghargai setiap sumbangan serta pengorbanan ahli keluarga.
Di samping itu, ia bertujuan untuk mengembleng komitmen pelbagai pihak terhadap pengukuhan institusi keluarga dan mendaya upaya peranan membina dan mengekalkan hubungan keluarga yang sejahtera ke arah agenda perpaduan negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan NBKK 2024 masih mengekalkan konsep riadah dan santai bersama keluarga sebagai merealisasikan momen indah bersama keluarga.
Jelas beliau, pelbagai aktiviti menarik boleh disertai oleh semua peringkat usia tidak kira kanak-kanak, dewasa dan warga emas.
"Seawal jam 7 pagi pada 9 November 2024, kita akan adakan larian 5km KASIH Family Fun Run. Antara menarik bagi acara ini selain medal dan cabutan bertuah, 300 pelari pertama bersama keluarga yang sampai ke garisan penamat akan diselempangkan kain batik.
"Kain batik merupakan simbolik kepada kasih sayang dan ikatan kuat antara ahli keluarga. Saya percaya setiap rumah di Malaysia tidak kira kaum dan bangsa ada kain batik,” ujarnya.
Pengisian NBKK 2024
Tambah Abdul Shukur lagi, Karnival KASIH Keluarga itu terbahagi kepada tiga zon iaitu A, B dan C.
Katanya, Zon A menempatkan Rumah KASIH MADANI yang menampilkan konsep edutainment. Pengunjung akan dibawa mengembara serta mencipta pengalaman bersesuaian dengan tagline NBKK #MomenIndahBersamaKeluarga.
"Sementara itu, Zon B tertumpu kepada aktiviti mesra keluarga seperti game stall, sukan keluarga, senam seni keluarga, petting zoo, pertunjukan haiwan dan banyak lagi.
"Pengunjung boleh menjengah ke Pasar Keluarga x Saloma yang turut menyediakan jualan pelbagai jenis juadah dan minuman tradisional.
"Zon C pula menyediakan laman piknik keluarga di Bamboo Play House. Mana-mana keluarga boleh membawa bekal untuk berkelah beramai-ramai sambil menyertai sukaneka keluarga yang terbuka kepada semua pengunjung,” kata Abdul Shukur.
Ketika ditanya mengenai tawaran menarik lain sempena sambutan NBKK, beliau berkata, majikan yang melaksanakan hari keluarga dan aktiviti kekeluargaan di tempat kerja layak mendapatkan pelepasan cukai bagi perbelanjaan keraian.
Menurutnya, syarikat swasta yang memberikan cenderamata bagi tujuan penajaan atau pelaksanaan sambutan program kekeluargaan turut layak menuntut perbelanjaan keraian atas 100 peratus kos cenderamata yang dikeluarkan.
"Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia akan menawarkan 44 promosi serta pakej untuk cuti-cuti keluarga melalui 21 syarikat bermula November 2024 dan sah laku sehingga 30 Jun 2025 tertakluk kepada terma syarat,” jelasnya
Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa sambutan sempena NBKK 2024 akan diteruskan di semua negeri sepanjang bulan ini.
Abdul Shukur berkata, Sarawak, Perlis dan Negeri Sembilan akan menjadi negeri terawal yang menyambut NBKK iaitu pada 16 November seterusnya diikuti Melaka (20 November), Kedah (21 November), Sabah (23 November) dan Johor serta Pahang pada 24 November.
Seterusnya, Perak (26 November), Terengganu dan Kelantan (29 November) serta Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang pada 30 November.
Mengulas mengenai tema ‘KASIH Keluarga, Jiwa MADANI’ yang dipilih pada sambutan NBKK kali ini, Abdul Shukur berkata, ia menggariskan kepentingan nilai-nilai kasih sayang dalam keluarga sebagai asas kepada pembinaan masyarakat yang berteraskan prinsip Madani.
Tambahnya, tahap kesejahteraan keluarga telah meningkat tahun demi tahun kerana ia disokong kerajaan yang mewujudkan inisiatif berkaitan keluarga.
"Tahap kesejahteraan keluarga di Malaysia diukur melalui Indeks Kesejahteraan Keluarga. Pada tahun 2023, ia telah meningkat kepada 7.93 berbanding 7.72 (2019) dan 7.33 (2016).
"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui LPPKN terus komited dan meneruskan usaha bagi kesejahteraan keluarga melalui program-program pendidikan kekeluargaan,” ujar beliau.