KYLIAN Mbappe sedang mempertimbangkan keputusan untuk meninggalkan pasukan kebangsaan Perancis, menurut laporan beberapa media di Eropah.
Berita mengejutkan itu datang selepas dia diketepikan daripada skuad terbaru Didier Deschamps untuk perlawanan Liga Negara-Negara akan datang menentang Israel dan Itali.
Keputusan tersebut berpotensi membawa kepada penamatan awal kerjaya antarabangsa Mbappe.
Laporan di Perancis menyebut bekas pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu yang kini bersama Real Madrid, tidak lagi mahu mewakili negaranya dalam situasi ketika ini.
Terdapat spekulasi bahawa Mbappe tidak akan bermain untuk Perancis di bawah kendalian Deschamps sehingga terdapat perubahan kejurulatihan selepas hubungan antara penyerang dan pengendali pasukan itu tidak berada dalam keadaan baik.
Mbappe, 25, mempunyai kerjaya yang menakjubkan dengan Les Bleus sejak penampilan sulungnya pada 2017.
Dia sudah mewakili Perancis sebanyak 86 kali dan menjaringkan 48 gol sekali gus menjadikannya pemain ketiga dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman.
Dia memenangi Piala Dunia bersama Perancis pada 2018 dan menjaringkan hatrik pada perlawanan akhir 2022, walaupun Perancis tewas kepada Argentina.
Dakwaan mengenai masa depan antarabangsa Mbappe ini bertepatan dengan tempoh yang mencabar dalam karier kelabnya.
Walaupun Mbappe menjaringkan lapan gol dalam 15 penampilan untuk Real Madrid musim ini, ia bukanlah sesuatu yang memberangsangkan untuk bintang Perancis itu.
Laporan menyebut dia kecewa dengan keputusan jurulatih Carlo Ancelotti untuk memainkannya sebagai penyerang tengah, dan bukannya dalam posisi pilihannya.