Syed Danial dahului 59 penerima darjah, pingat Perak

Iklan
Sultan Nazrin berkenan mengurniakan darjah SPCM kepada Syed Danial pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Sabtu.

KUALA KANGSAR - Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengetuai senarai 59 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Syed Danial, 80, dikurniakan Darjah Dato’ Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Nazrin yang disambut pada 1 November lalu.

Iklan
Iklan

Pada istiadat pengurniaan sama, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengerusi Eksekutif Yee Lee Corporation, Datuk Lim Kok Cheong @ Lim A Heng telah dikurniakan Darjah SPCM.

Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Dato' dikurniakan kepada seorang penerima iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.

Iklan

Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada lapan tokoh iaitu Naib Cancelor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff; penulis undangan akhbar New Straits Times (NST), Abdul Rahim Mydin; Pengarah Jabatan Agama Islam negeri Perak, Harith Fadzilah Abdul Halim dan Ketua Perkhidmatan Otorinolaringologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr D Philip Rajan.

Lain-lain penerima DPMP adalah Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Salasiah Abdul Wahab; Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri, Yong Zarida Sazali; Duta Besar Kedutaan Malaysia The Haque Belanda, Roseli Abdul dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak, Anuar Zainal Abidin.

Iklan

Sultan Nazrin juga berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Dato’ Pahlawan kepada enam penerima.

Mereka ialah Pengarah Jabayan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; Pengarah Cawangan Khas PDRM, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM, Ng Kong Soon; Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral M Thevendran; Pakar Obstetrik dan Ginekologi ATM, Brigadier Jeneral Dr Sharifah Sofiah Syed Zainol dan Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksama Muda Farizal Myeor.

Baginda berkenan mengurniakan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada 13 penerima dan 28 penerima bagi Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP).

Berangkat sama pada majlis istiadat itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Aezer Zubir.

Sesi kedua pula Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan berlangsung pada 16 November depan melibatkan 154 pingat di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.