Kedudukan kewangan Perak kukuh, kutip hasil RM1.09 bilion

Iklan
Saarani menyampaikan sembah ucapan tahniah pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran sempena sambutan Ulangtahun Keputeraan ke-68 baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Sabtu.

KUALA KANGSAR - Kedudukan kewangan Perak terus mengukuh apabila kutipan hasil negeri mencatatkan sebanyak RM1.09 bilion setakat 1 November lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah itu meningkat sebanyak RM130 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Lantaran prestasi memberangsangkan itu, Kerajaan Paduka Seri Tuanku akan dapat memadam unjuran defisit sebanyak RM67.5 juta dalam Belanjawan 2024 sekali gus akan merekodkan lebihan atau surplus untuk tiga tahun berturut-turut.

"Alhamdulillah, deretan keberhasilan yang didukung oleh data dan angka, menjadi cerminan betapa Kerajaan Paduka Seri Tuanku berada dalam haluan yang betul untuk menjayakan segala ikhtiar dan dayausaha yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan tahniah pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-68 baginda di Istana Iskandariah di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, industri nadir bumi sudah menyumbang pulangan hasil royalti mencecah RM30.88 juta kepada negeri.

Iklan

"Patik bersama segenap warga pentadbiran tiada berlengah terus meneroka setiap potensi yang ada untuk memastikan Perak dipetakan sebagai hab industri mineral negara.

"Sesuai dengan perancangan yang diatur, kerajaan negeri melalui Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) telah mendirikan Terra Mineral Lab, sebuah makmal analisis mineral nadir bumi komersial pertama dalam negara.

"Makmal itu akan menjadi pusat rujukan penting industri mineral, lebih-lebih lagi ia membariskan pakar dan tenaga profesional tempatan," katanya.

Saarani berkata, hasil lawatan dan tinjauan ke tapak pemprosesan itu pada Selasa telah membuahkan hasil seperti yang dicita-citakan.

"Syarikat tersebut telah berjaya memisahkan empat kumpulan unsur nadir bumi yang menjadi komponen penting dalam rantaian industri tersebut, seterusnya menonjolkan potensi Perak dalam penghasilan produk mineral yang bernilai tinggi.

"Empat kumpulan unsur nadir bumi itu ialah Lanthanum Cerium (LaCe), Praseodymium Neodymium (PrNd), Samarium Europium Gadolinium (SEG) dan Heavy Rare Earth Element (HREE) yang dipisahkan sepenuhnya dengan kepakaran tempatan," katanya.

Tambah beliau, kejayaan bersejarah itu menjadi titik penting kerana berjaya menembusi teknologi memproses nadir bumi sekali gus melorong reputasi Perak untuk bersaing di peringkat global.