KENINGAU - Penjawat awam yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat dalam rasuah mencecah hampir 50 peratus menunjukkan negara masih bergelut untuk membanteras rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, statistik yang direkodkan setakat Oktober lalu melibatkan penjawat awam sebanyak 43.4 peratus atau 546 pegawai kerajaan yang ditangkap dan selebihnya melibatkan orang awam.
"Kalau berdasarkan peratusan antara 40 ke 50 peratus itu, pada saya sebagai orang lama dalam SPRM ini masih lagi tinggi.
"Sewajarnya kalau kita nak mengatakan rasuah telah berkurangan dalam kalangan penjawat awam, sepatutnya bawah daripada 40 peratus dan makin menurun ikut tahun.
"Tetapi nampaknya isu rasuah dalam negara kita ini melibatkan jabatan kerajaan masih lagi perlu kita tangani dengan lebih teliti dan lebih efektif.
"Ini kerana penjawat awam adalah mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dana kerajaan ataupun dana rakyat. Kita ke arah memastikan supaya dana ini tidak diselewengkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Keningau, di sini pada Sabtu.
Katanya lagi, ikrar integriti yang dilafazkan penjawat awam itu sama ada dipatuhi atau sebaliknya menjadi penentu kepada mereka terlibat atau tidak dalam rasuah.
Tegasnya, integriti sebagai penjawat awam seperti mana ikrar dilafazkan setiap minggu perlu dikekalkan.
"Kedua, janji kepada kerajaan dan masyarakat semasa mula memasuki perkhidmatan awam dan ketiga, janji kepada diri dan agama masing-masing.
"Jadi perlu dikekalkan integriti, meningkatkan sistem penyampaian untuk rakyat.
"Bersempena dengan pengumuman kenaikan gaji dan sebagainya, saya harap itu satu penyuntik kepada penjawat awam untuk bekerja lebih keras lagi bagi tujuan untuk meningkatkan perkhidmatan kepada masyarakat termasuk SPRM," katanya.
Malah Azam berkata, SPRM juga tidak terkecuali untuk melihat agensinya itu sendiri untuk menyelesaikan isu rasuah dan salah guna kuasa yang dibangkitkan masyarakat.
Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut, Azam berkata, berasaskan kepesatan pembangunan di daerah ini, sudah tiba masanya SPRM membuka cawangan baharunya untuk melebarkan lagi perkhidmatan agensi tersebut untuk masyarakat setempat.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat yang kini mulai celik isu SPRM supaya tampil berhadapan dengan pegawai yang ditempatkan di cawangan baharu itu.
"Tidak perlu lagi dengan menghantar email, WhatsApp ataupun melalui media sosial tertentu.
"Berdepan dengan pegawai saya lebih mudah untuk mendapatkan penjelasan.
"Saya memberi jaminan sekiranya ia adalah berunsur maklumat rasuah kita akan melindungi identiti mereka daripada masyarakat," katanya.