KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan henti kerja terhadap sebuah tapak pembinaan di Wangsa Maju di sini selepas terdapat kesan keretakan struktur bangunan.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menerima aduan daripada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari berkaitan satu letupan telah berlaku di tapak pembinaan tersebut pada Khamis lalu.
Menurutnya, kejadian disebabkan kegagalan struktur di Blok C dalam kawasan projek pembangunan tersebut.
"Siasatan tapak telah dijalankan oleh DBKL dan mendapati terdapat keretakan pada struktur dinding (shear wall), tiang dan lantai pada unit-unit yang berada di tingkat lapan dan ke atas.
"Satu notis henti kerja di bawah Seksyen 70B(2), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) telah dikeluarkan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, DBKL telah mengarahkan pihak perunding mengambil langkah memberhentikan semua kerja-kerja pembinaan dan dikehendaki menyelenggara tapak bina supaya berada di dalam keadaan bersih dan selamat.
"Selain itu, perunding perlu melantik jurutera bebas bagi menjalankan pemeriksaan integriti struktur keseluruhan seterusnya mengemukakan laporan tersebut.
"Perunding juga perlu menjalankan kerja-kerja rektifikasi berdasarkan pengesyoran daripada jurutera bebas," katanya.
Ujarnya, tempoh pemberhentian pembinaan projek adalah berdasarkan kepada pelaksanaan perkara-perkara dinyatakan.
"Punca letupan dan kegagalan struktur belum ditentukan sehingga laporan integriti struktur dikemukakan kepada DBKL.
"DBKL mengambil perhatian serius terhadap insiden yang berlaku," katanya.
DBKL pada masa sama menasihatkan orang awam tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan tidak berasas khususnya melalui saluran media sosial.