RABAT - Maghribi dipilih sebagai Naib Presiden Interpol bagi benua Afrika pada Khamis dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif organisasi itu, sekali gus mengiktiraf usaha negara itu dalam memelihara keselamatan dan kestabilan di peringkat serantau dan antarabangsa serta peranannya dalam memperkukuh kerjasama keselamatan Selatan-Selatan, lapor Maghreb Arabe Press (MAP).
Maghribi memperoleh sokongan daripada 96 negara anggota, dengan kelebihan ketara berbanding pesaing lain dalam undian yang diadakan semasa Perhimpunan Agung Interpol ke-92 di Glasgow, Scotland (4-7 November), menurut kenyataan daripada Direktorat Jeneral Keselamatan Negara (DGSN).
Maghribi membentangkan pencalonan bagi jawatan Naib Presiden Interpol untuk Afrika dengan hasrat menyumbang kepada pembangunan struktur kepolisan di Afrika, serta komitmen teguh untuk memperkukuh kerjasama keselamatan Selatan-Selatan dan berkongsi kepakaran dengan perkhidmatan keselamatan di benua itu.
Pencalonan ini selaras dengan Panduan Diraja yang menegaskan kerjasama Selatan-Selatan sebagai pilihan strategik dan keutamaan bagi Maghribi serta rakan kongsinya di Afrika. Visi pragmatik ini menumpukan kepada pembangunan hubungan antara Maghribi dan negara-negara Afrika di semua peringkat, termasuk dalam aspek keselamatan.
Berlandaskan visi ini, Maghribi mengemukakan pencalonan yang teratur dan berstruktur, berteraskan pelaburan dalam sumber manusia, pengukuhan rangka kerja keselamatan umum, dan peningkatan kerjasama keselamatan di seluruh benua.
Ini bertujuan membasmi sumber imigrasi haram dan pemerdagangan manusia serta membongkar jaringan jenayah rentas sempadan.
Dengan pemilihan ini, Maghribi berhasrat menyelaras usaha bersama biro pusat negara anggota Afrika bagi menangani ancaman pengganas yang berkait dengan kesan organisasi ekstremis di rantau itu. Fokus juga diberikan kepada ancaman luar biasa, seperti penyalahgunaan kecerdasan buatan dan teknologi baharu oleh kumpulan jenayah terancang.
Ditubuhkan pada 1923, Interpol merupakan sebuah organisasi polis memerangi jenayah antarabangsa yang bertujuan menyokong keupayaan negara anggota serta pertukaran maklumat dan kepakaran untuk mencegah dan memerangi ancaman jenayah dan keselamatan rentas sempadan. - Bernama