TANAH MERAH - Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memberitahu, pihaknya sudah menambah bilangan warden dalam usaha mengekang kejadian buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengambil serius perkara itu dan tidak pernah berkompromi dengan sebarang kegiatan buli dan kejadian yang berlaku di pusat pengajian berkenaan.
"Aspek undang-undang dan pentadbiran kita berikan perhatian. Kita serahkan perkara yang berlaku kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dari sudut undang-undang.
"Dari aspek pentadbiran, kita meningkatkan bilangan warden supaya dapat santuni dan melihat lebih ramai pelajar sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang," katanya semasa sidang akhbar pada Program Veteran Desa Madani (VDM) di Sekolah Kebangsaan Bechah Laut, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, bilangan warden ditambah sejak kejadian pertama membabitkan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar senior UPNM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pegawai kadet junior universiti itu dengan menggunakan seterika wap panas bulan lalu.
Tertuduh, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Egusra.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap yang panas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di blok Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, Kem Sungai Besi di sini, jam 11.45 malam pada 22 Oktober lalu.