Harimau mati digilis lori, anggota termasuk kepala putus

Iklan
Tangkap layar video tular menunjukkan seekor harimau mati selepas terpelosok di bawah lori di Kilometer 67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik pada Sabtu. Gambar kecil: Yusoff

GERIK - Seekor harimau belang mati dengan sebahagian badannya hancur digilis lori di Kilometer 67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat sini pada Sabtu.

Kejadian sekitar jam 5.30 pagi itu berlaku selepas Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Titiwangsa arah Gerik ke Jeli.

Iklan
Iklan

Kejadian itu tular selepas dua rakaman video masing-masing berdurasi 17 dan 32 saat dikongsi di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Dalam rakaman itu menunjukkan seekor harimau terpelosok di bawah lori juga beberapa anggota termasuk kepala yang terpisah dan bertebaran di atas jalan raya.

Iklan

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, sepasukan anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat sekitar jam 9 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati, anggota haiwan tersebut dalam keadaan telah putus dan hancur.

Iklan

"Karkas hancur kemungkinan turut digilis oleh kenderaan lain yang melalui jalan ini.

"Buat masa ini, kita tak dapat kenal pasti lagi jantina haiwan sama ada jantan atau betina. Begitu juga dengan berat yang tidak boleh dianggarkan.

"Bagaimanapun kita percaya ia melibatkan harimau dewasa," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, harimau tersebut berkemungkinan keluar dari habitat hutan berhampiran sama ada Hutan Simpan Temenggor, Hutan Simpan Gerik atau Royal Belum.

Katanya, kerja pengumpulan telah dilakukan dan karkas harimau berkenaan akan dihantar ke Institut Biodiversiti (IBD) Lanchang, Pahang bagi proses pengawetan khususnya di bahagian kepala mamalia itu yang masih tersisa.

"Sepatutnya kita boleh kenal ID harimau ini, tetapi disebabkan tubuhnya sudah hancur menjadikan sukar kita nak buat pengecaman.

"Pemandu lori yang terlibat belum tampil membuat laporan polis," katanya.