Kulit, taring karkas harimau mati di Gerik dicuri

Iklan
Laporan Sinar Harian.

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesan beberapa bahagian karkas harimau belang yang mati digilis lori dekat Gerik pada Sabtu telah dicuri dan diambil pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarah, Yusoff Shariff berkata, penelitian dilakukan ke atas haiwan itu didapati, banyak bahagian termasuk kulit, taring, tulang, kuku dan misai didapati hilang.

Iklan
Iklan

"Satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara ini. Perhilitan dengan kerjasama polis akan mengumpul maklumat dalam usaha mengesan mereka yang bertanggungjawab mengambilnya.

"Mana-mana individu yang telah mengambil bahagian-bahagian tertentu dari bangkai harimau ini diminta agar menyerahkan segera kepada Perhilitan bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta A1646)," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, di bawah akta berkenaan, individu yang didapati memiliki apa-apa bahagian dari Harimau Malaya tanpa kebenaran boleh didenda sehingga RM1 juta dan penjara tidak melebihi 15 tahun.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kemalangan tersebut diminta menghubungi polis atau Perhilitan bagi membantu siasatan," katanya.

Iklan

Difahamkan, Polis Daerah Gerik setakat ini belum menerima sebarang laporan polis daripada pemandu lori yang terlibat dalam insiden langgar berkenaan.

Dalam kejadian sekitar jam 5.30 pagi itu, seekor harimau belang mati dengan sebahagian badannya hancur digilis lori di Kilometer 67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB), selepas Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Titiwangsa arah Gerik ke Jeli.

Kejadian itu tular selepas dua rakaman video masing-masing berdurasi 17 dan 32 saat dikongsi di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Dalam rakaman itu menunjukkan seekor harimau terperosok di bawah lori juga beberapa anggota termasuk kepala yang terpisah dan bertebaran di atas jalan raya.