PH tidak perlu jadi lebih pro Melayu - Hassan Karim

Iklan
Hassan Karim

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya tidak menjadi lebih pro Melayu semata-mata untuk mendapatkan sokongan kaum itu kerana ia bukan wajah sebenar gabungan berkenaan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, asas dan perjuangan asal gabungan tersebut adalah untuk semua kaum di negara ini.

Iklan
Iklan

"Sekuat mana PH nak jadi lebih Melayu, ia akan gagal untuk mengatasi Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang semula jadi adalah parti Melayu. Jadi, PH kena tumpu semua kaum.

"PH mesti jadi gabungan parti yang inklusif bukan eksklusif. Ini kelebihan PH yang merangkumi kesemua masyarakat Islam atau bukan Islam, Melayu atau bukan Melayu. Daripada usaha yang akan gagal untuk menjadi pro Melayu lebih bermakna PH menumpu kepada pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu, adil dan demokratik.

Iklan

"PH jangan bersikap oportunis politik. Itu bukan wajah PH kerana gabungan ini adalah parti reformasi yang menjanjikan harapan. Bolehkah PH memberi harapan jika hanya menumpu untuk pro Melayu? Itu persoalan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Hassan yang juga wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menambah, PH perlu menumpukan agenda ekonomi bagi menjamin kos sara hidup yang wajar dan tidak membebankan rakyat.

Iklan

Menurutnya, jika ini dicapai dengan ditambah kesungguhan kerajaan untuk mewujudkan tatakelola yang baik, mengatasi ketirisan ia diyakini berupaya mengekalkan pentadbiran PH bagi penggal seterusnya.

"Jika PH yang sekarang berada dalam kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan agenda tindakan afirmatif untuk semua rakyat yang lemah, mundur dan miskin maka PH dilihat gabungan parti politik yang adil, bertanggungjawab kerana mengambil pendekatan politik jalur tengah yang tidak (ada) perkauman.

"PH jangan buang masa seperti Parti Demokratik di Amerika Syarikat (AS) yang gagal dalam usaha cuba memikat penyokong Parti Republikan," katanya.