KENINGAU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menggunakan pendekatan berbeza untuk mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti rasuah atau ketirisan termasuk mendengar rungutan daripada orang awam di media sosial.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, cara SPRM memberi khidmat kepada masyarakat kena berubah iaitu kalau dulu penguat kuasa ini kurang respons kepada isu semasa yang dibangkitkan di media sosial tetapi kini ia sudah jadi kemestian.
Bagaimanapun, beliau berkata, setiap maklumat yang dibangkitkan di media sosial juga harus dianalisis kesahihannya sama ada ia betul atau sebaliknya.
"Ini satu kepakaran ataupun analisis yang diperlukan untuk kita menilai sama ada maklumat itu berguna atau tidak untuk kita teruskan tindakan.
"Banyak contoh-contoh yang sekarang ini akan berlaku dalam tindakan siasatan kami adalah berpunca daripada rungutan masyarakat yang disampaikan dalam pelbagai cara.
"Sebagai contoh mungkin tentang cerita mengenai pasangan pengasas yang terkenal, FashionValet, cerita sebenarnya keluar daripada Parlimen yang menyebut tentang komplen yang dia dapat daripada masyarakat ada kalanya kita ambil, ada kalanya tidak," katanya ketika berucap ketika perasmian Pejabat SPRM Cawangan Keningau di sini pada Sabtu.
Menurutnya, SPRM juga berbeza dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana suruhanjaya itu tidak perlu menunggu laporan rasmi semata-mata jika ia berkaitan wang rakyat.
"Kita boleh ambil daripada laporan lain walaupun menerusi media sosial dengan syarat ada pengesahan tertentu yang menyebabkan kita boleh ada merit untuk kita jalankan siasatan dalam kes ini.
"SPRM sejak tahun 2020 dan selepas Covid-19 sebenarnya, kita kena proaktif dalam tindakan dan kena berubah fokus sebab itu dalam menjalankan siasatan, strategi kami adalah untuk mengurangkan atau sebaik-baiknya untuk menghapuskan ketirisan.
"Bila saya cakap tentang menghapuskan ketirisan ini, kerana ia melibatkan duit rakyat semua sekali. Bila bercakap tentang kehilangan (contoh) RM47 juta mungkin pada sebahagian masyarakat mengatakan nilai itu kecil tetapi pada kami, ini duit kita semua, duit rakyat.
"Perlu kita siasat betul atau tak betul, itu cerita lain tetapi memerlukan satu agensi seperti kami untuk menyiasat dengan cara terperinci adakah isu ini benar atau tidak, agensi yang boleh sahkan sama ada maklumat itu betul atau tidak adalah SPRM," katanya.
Azam mengakui pelbagai cabaran terpaksa dihadapi kerana sudah tentu ada pihak kurang senang dengan tindakan yang diambil SPRM.
"Kita pernah juga menyiasat hakim besar dan ada pihak menuduh kami pelbagai, tetapi itulah SPRM. Jadi saya menyeru kepada pegawai saya buat dan kerja dengan profesional dengan adil tanpa takut kerana dalam kita menjalankan tugas ini sebenarnya tanggungjawab ini adalah dibebankan kepada kita oleh masyarakat," katanya.