PAPAR - Parti luar sekali lagi diingatkan supaya tidak menjadi perunding menentukan dengan siapa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bekerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, biar pemimpin negeri ini yang menentukan kerjasama itu tanpa paksaan daripada pihak luar.
"Bagi saya, yang memutuskan biarlah orang Sabah, pemimpin Sabah yang memutuskan. Jangan ada paksaan daripada pihak luar untuk memaksa, menentukan, mencatur, siapa bergabung dengan siapa sebab orang Sabah ini tidak boleh dipaksa.
"Sebab orang Sabah ini masa pilihan raya sejak dulu, kalau dipaksa pun, orang calon bebas pun boleh menang bertanding. Biarlah segala keputusan gabungan itu ditentukan oleh kepimpinan kita di Sabah.
"Paling penting matlamatnya, sebarang gabungan bukan hanya untuk menang pilihan raya tetapi mewujudkan kerajaan yang stabil, harmoni dan yang boleh bekerjasama," katanya ketika ditemui pemberita ketika melakukan tinjauan projek Jalan Sabindo di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Sabah dan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga tidak menolak berkemungkinan GRS akan turut serta dalam kerjasama tersebut.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak mahu disebabkan tindakan pemimpin yang tidak bertanggungjawab akan menjadikan rakyat sebagai mangsa dan akhirnya menyebabkan Sabah sukar untuk berdiri sendiri.
"Rakyat sudah memilih, susah payah rakyat turun mengundi tetapi akhirnya (pemimpin) bergaduh berebut jawatan dan akhirnya memangsakan rakyat semula.
"Rakyat kita memerlukan kerajaan yang stabil, kerajaan yang komited dan kita mahu membina satu bentuk serta struktur hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan yang lebih kondusif.
"Kita mahu supaya Sabah suatu hari nanti tidak terus meminta-minta, merayu kepada kerajaan Persekutuan tetapi dengan hak yang ada, hasil yang ada, ekonomi yang kuat, kita sendiri ada kekuatan untuk melaksanakan apa-apa projek yang perlu untuk rakyat di Sabah ini," katanya.
Justeru, beliau sekali lagi mengingatkan jika rakyat Sabah ingin menjadi seperti Sarawak maka haruslah mengikut cara negeri itu bergerak.