SHAH ALAM - Sisa kumbahan di tangki septik milik persendirian perlu dikosongkan mengikuti masa ditetapkan kerana setiap tangki itu mempunyai kapasiti rawatan yang terhad.
Sehubungan itu, syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd mengadakan Karnival Tiga Dekad IWK Memelihara Kesejahteraan Rakyat bersama penduduk Mukim Karangan, Kulim, Kedah dengan mengetengahkan aktiviti kesedaran mengosongkan takungan kumbahan tersebut.
Ketua Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar IWK, Pauzi Mohamed berkata, melalui program kesedaran Ops Sedut, IWK dapat mendekati masyarakat setempat dan menyampaikan maklumat mengenai kepentingan pengosongan tangki septik.
"Bagi premis yang menggunakan sistem pembetungan tangki septik individu, pengguna hendaklah faham bahawa ia berfungsi sebagai tangki yang menerima air sisa kumbahan dan mempunyai kapasiti rawatan terhad.
"Sekiranya tidak dikosongkan, ia boleh menyebabkan air sisa kumbahan tidak dirawat dan mengalir ke sungai atau perairan sehingga boleh mencemarkan sumber air negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Pauzi, sisa kumbahan perlu dilupuskan dengan cara yang selamat bagi mengelakkan berlakunya penyebaran penyakit bawaan air.
Menurutnya, jika pemilik tangki gagal itu menguruskan takungan tersebut mengikut jadual yang ditetapkan maka mereka boleh disabitkan salah di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].
Jelas Pauzi, sebaik sahaja hukuman dijatuhkan mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000.
"Di Malaysia, terdapat 1.35 juta pengguna tangki septik yang mana ia perlu dikosongkan secara berkala iaitu sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun.
"Diharapkan program libat urus bersama komuniti ini dapat meningkatkan lagi kesedaran kepada semua pemilik tangki septik untuk menjalankan tanggungjawab mengosongkan takungan itu demi alam sekitar,” ujarnya.
Mengulas mengenai Ops Sedut, Ketua Wilayah Utara, Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar IWK, Wan Abdul Jalil Wan Husin berkata, acara itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung.
"Sehingga ke hari ini (Sabtu), sebanyak 250 premis yang telah mendaftar dengan IWK untuk mendapatkan perkhidmatan pengosongan tangki septik,”
Selain demo pengosongan tangki septik, Karnival Tiga Dekad IWK itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya sukan rakyat, acara jalan 10,000 langkah, taklimat daripada penceramah jemputan, pertandingan mewarna dan gubahan.