SHAH ALAM - Kerajaan diminta meneliti sejauh mana pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 agar tidak menyisihkan kelompok-kelompok tertentu.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ia kerana perkara tersebut mungkin menjadi faktor perbalahan dalam kalangan umat Islam di negara ini sehingga berlakunya polemik berterusan.
Menurut Ahli Dewan Negara terbabit, RUU itu berkemungkinan lebih dilihat dari sudut roh dan semangat, bukannya teologi.
"Jika ditanya saya selaku pengamal undang-undang, mengapa perkataan yang konklusif hendak dikeluarkan dengan meletakkannya secara spesifik?
"Bukankah elok kalau istilah ini sudah terangkum di dalamnya tentang makna Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan apa beza dengan Syiah.
"Hampir kesemua pengkaji teologi Islam menyebut bahawa ASWJ itulah pegangan majoriti umat Islam dari segi akidahnya al-Ashairah dan al-Maturidiyyah mazhab Hanafi, Shafie, Maliki serta Fudhala al-Hanabilah dan lain-lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Wacana Sinar edisi 464 bertajuk 'Merungkai Kekeliruan RUU Mufti' yang bersiaran secara langsung dari Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis.
Program yang dihoskan oleh Azlan Shah Nabees Khan itu turut dibarisi panelis lain seperti Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang dan pendakwah, Wan Ji Wan Hussin.
Mujahid turut mempersoalkan sebab dan niat asal penubuhan RUU tersebut sehingga menjadi perdebatan masyarakat kerana ia berkemungkinan membawa kepada kesatuan atau perpecahan.
Tambahnya, umat Islam di negara ini wajar membahaskan keperluan mengadakan RUU itu kerana kebimbangan mereka terhadap bagaimana pemilihan mufti, ciri-ciri dan pemfatwaan dilaksanakan nanti.
"Kalau saya sebagai pengamal undang-undang kena lihat implikasinya dengan lebih mendalam. Jika RUU ini membawa kepada kecelaruan, disalahgunakan atau niatnya tidak baik, saya tak boleh terima.
"Ia dahulunya menumpang di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505). Kerajaan nak keluarkannya sebagai satu akta tersendiri untuk memperkukuhkan institusi mufti.
"Namun, RUU ini jadi perbahasan seolah-olah kalau sebut al-Ashairah dan al-Maturidiyyah, ahlul hadis letak di mana," soalnya.
Mujahid berpandangan, apabila sesuatu usul dibentangkan untuk kelulusan Parlimen, kerajaan tidak boleh menghadkan pendapat masyarakat kerana masing-masing mempunyai tafsiran tersendiri.
"Di sinilah masalah besar berlaku. Kalau tolak (RUU) bermakna tolak Islam, ini bahaya dan membawa kepada fahaman takfiri walhal ia soal manhaj," ujar beliau.
Bagaimanapun, Mujahid berkata, RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Saya berada dalam Jawatankuasa Semakan Undang-undang, kita ada penanda aras apakah undang-undang yang ingin digubal itu bercanggah.
"Pastinya tidak bercanggah dan kita sedia maklum ia hanya bersifat simbolik tetapi diberikan kelebihan,” katanya.
Jelas beliau, negara mempunyai peruntukan untuk membina sekolah Islam termasuk undang-undang kewangan Islam yang disebut secara terus terang dengan istilah mudarabah, tidak riba dan sebagainya.
"Baru-baru ini kerajaan salur dana RM100 juta untuk peruntukan kewangan Islam. Siapa kata RUU Mufti bercanggah, sebenarnya ia tidak bercanggah.
"Ini kerana ia merupakan satu peringkat di Wilayah Persekutuan soal pentadbiran Islam, terletak pada Persekutuan dan undang-undang yang perlu melalui Parlimen, negeri-negeri serta sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kita perlu lihat dari sudut undang-undang itu sendiri sejauh manakah ia dilihat tidak menyisihkan kelompok-kelompok tertentu," ujarnya.