PAPAR - [DIKEMAS KINI] Peningkatan ketara jumlah kenderaan yang menggunakan laluan Jalan Lok Kawi-Sabindo memerlukan jalan raya tersebut dinaik taraf daripada dua lorong kepada empat lorong.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, menaik taraf laluan tersebut kepada empat lorong antara dua cadangan projek yang telah diluluskan Perdana Menteri di bawah Parlimennya termasuk membina laluan alternatif bagi mengelak kesesakan jalan di jambatan Papar.
"Pada masa itu, keperluan dua projek jalan raya yang mendesak di kawasan Parlimen Papar ini adalah untuk menangani isu kesesakan jalan raya yang telah berlarutan sejak sekian lama.
"Alhamdulillah, Perdana Menteri telah mengumumkan meluluskan dua projek bagi kawasan Parlimen Papar iaitu yang pertama projek untuk menyelesaikan kesesakan di jalan Lok Kawi ini dan kedua projek menanggani isu kesesakan di jambatan Papar dengan membina laluan alternatif kepada jalan raya sedia ada," katanya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di Jalan Sabindo, di sini pada Sabtu.
Susulan daripada itu, Armizan berkata, proses pelantikan perunding bagi projek pertama yang melibatkan jarak sejauh 1.3 kilometer bermula daripada bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut sedang dilaksanakan.
"Sekarang penyiapan reka bentuk yang terakhir sedang dilaksanakan dan dalam taklimat Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi komitmen bahawa proses penilaian reka bentuk akan disegerakan manakala tender akan dibuka serta diiklankan selewat-lewatnya pada Januari depan.
"Untuk penilaian tender mungkin tiga bulan ke empat bulan, jadi kita harap selewat-lewatnya bulan Mei kontraktor sudah boleh memulakan kerja kerana sasaran pembinaan projek ini adalah dalam tempoh tiga tahun," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap projek itu dapat diselaraskan supaya ia terlaksana dengan segera demi kepentingan awam iaitu isu kesesakan jalan raya yang berlarutan sejak dulu lagi.
"Untuk pengetahuan semua berdasarkan kajian yang dibuat oleh KKR, bancian pada tahun 2021 penggunaan jalan raya dari Pekan Papar sehingga ke Kota Kinabalu termasuk jalan ini adalah sebanyak 27,000 kenderaan sehari melebihi standard keperluan untuk menaik taraf iaitu dalam 25,000 kenderaan.
"Saya fikir kalau sekarang, 2024 ini sudah boleh mencecah kepada 30,000 kenderaan, jadi dari segi dapatan kajian itu memang ada keperluan amat mendesak supaya jalan ini dinaik taraf," ujarnya.
Beliau dalam pada itu turut memaklumkan anggaran kos bagi projek tersebut adalah sebanyak RM67 juta namun turut melibatkan pelbagai isu termasuk pembinaan jejantas, pengambian alih tanah penduduk serta berkaitan utiliti.