BATU CAVES - Sekretariat Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor akan mengikut modul dilaksanakan peringkat Pusat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, melalui penubuhan itu, pelbagai perkara membabitkan pentadbiran dan urusan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan iaitu PH-BN dapat dibincangkan lebih mendalam.
Menurutnya, sekretariat turut akan mengatur beberapa program yang akan dilaksana secara bersama secara berterusan hingga ke pilihan raya.
"Antaranya diadakan pemukiman dengan menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk lebih eratkan perpaduan untuk masa kini dan masa hadapan.
" Kerjasama erat ini akan terus diperkukuh hingga pilihan raya dengan mengguna pakai modul Kerajaan Perpaduan peringkat pusat di bawa ke Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jelajah Peduli Ummah Sejahtera Insan Al-Falah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di Dataran Sungai Tua di sini, pada Sabtu.
Pada Khamis, telah berlangsung mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor dipengerusikan Setiausaha Perpaduan Negeri Selangor, Dr Mohd Khairuddin Othman.
Mesyuarat kali pertama itu, membincangkan penubuhan jawatankuasa sekretariat dan gerak kerja untuk menyatupadukan parti-parti di bawah naungan Kerajaan Perpaduan di negeri Selangor.
Dalam perkembangan berasingan, Amirudin berkata, Jelajah Peduli Ummah Mapim memilih lokasi Gombak menyalurkan 200 bakul makanan selain kunjungan dari rumah ke rumah kepada golongan memerlukan.
Turut diadakan program masyarakat antara e-games, tukar minyak hitam selain pengisian lain diatur selama satu hari.
"Program seumpama ini dapat meningkatkan kesedaran dan minat untuk melakukan aktiviti kebajikan bersama sebagai salah satu budaya masyarakat.
"Budaya kepedulian itu timbul dari kasih sayang dan rasa ingin menghargai satu sama lain. Kalau semangat tersebut dapat dibina, saya yakin di Selangor dan Malaysia akan aman makmur dan boleh maju ke depan sebagai masyarakat contoh," katanya.