SHAH ALAM - Sebuah inisiatif impak sosial bagi konglomerat antarabangsa Kumpulan QI, Yayasan RYTHM melabur RM150,000 bagi memperkasa pelajar seni halus dan persembahan aspirasi di Malaysia kepada Kuil Seni Halus Malaysia.
Yayasan RYTHM dalam satu kenyataan berkata, inisiatif berkenaan dilakukan adalah untuk memajukan bakat golongan muda serta menyokong artis Malaysia melalui biasiswa dan geran.
Menurutnya, tindakan berkenaan membuktikan bahawa yayasan memberi komitmen untuk memupuk warisan budaya negara yang kaya dan masa hadapan kreatif.
"Biasiswa seni halus dan persembahan menyokong pelajar Malaysia yang cemerlang dalam seni visual, muzik, tarian, teater serta kesusasteraan. Ia bertujuan untuk membantu mereka yang meminati seni tetapi menghadapi cabaran kewangan.
"Selain itu, geran seni halus dan persembahan membantu pelajar sepenuh masa dalam program artistik yang menunjukkan bakat dan dedikasi cemerlang,” kata kenyataan itu Jumaat.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan RYTHM, Datin Seri Umayal Eswaran memberitahu, pihak yayasan percaya bahawa seni mampu melangkaui sempadan kerana ia memupuk empati, mengukuhkan kebanggaan budaya dan menyatukan masyarakat.
Katanya, melalui inisiatif tersebut, kewangan tidak lagi menjadi penghalang anak muda Malaysia yang berbakat untuk menyumbang kepada kesenian.
"Melalui biasiswa dan geran, kami melabur dalam kedua-duanya iaitu individu dan warisan budaya Malaysia,” ujarnya.
Pada masa sama, Presiden Kuil Seni Halus Malaysia, Dr M Paranjothy berkata, pihaknya berasa bangga dengan kerjasama yang dilakukan dalam memperkasa pelajar seni halus dan persembahan aspirasi di Malaysia.
"Kami benar-benar berbesar hati untuk bekerjasama dengan Yayasan RYTHM dalam menyediakan biasiswa dan geran ini kepada pelajar berbakat kami.
"Kerjasama ini mengesahkan komitmen bersama kami untuk memupuk generasi artis pada masa akan datang, memelihara warisan budaya dan memastikan batasan kewangan tidak menghalang potensi kreatif.
"Dengan sokongan ini, kami memperkasakan artis muda untuk meneruskan minat mereka dan menyumbang secara bermakna kepada seni,” katanya.