TEHERAN - Iran dengan tegas menafikan tuduhan tidak berasas tentang tuduhan cubaan membunuh didalangi mereka yang menyasarkan bakal Presiden ke-47 Amerika Syarikat (AS) beberapa minggu sebelum pilihan raya berlangsung.
Menerusi kenyataan pada Sabtu, jurucakap Kementerian Luar, Esmaeil Baghaei menyangkal dakwaan tersebut, sehari selepas Jabatan Kehakiman AS membuka tuduhan jenayah yang mengaitkan penglibatan Teheran.
Dokumen difailkan di Mahkamah Persekutuan di New York mendakwa seorang pegawai Kor Revolusi Pengawal Islam (IRGC) mengarahkan tertuduh untuk membunuh Trump, 78.
Warga Afghanistan, Farhad Shakeri, 51, didakwa bersama dua lagi individu, Carlisle Rivera, 49, dan Jonathan Loadholt, 36, secara berasingan yang dituduh merancang untuk membunuh seorang penentang Iran-Amerika di New York.
"Ia jelas konspirasi jahat dilakukan oleh Zionis dan sekutu mereka yang cuba mengeruhkan lagi krisis antara Washington serta Iran,” ujarnya.
Pada Ogos lalu, Teheran juga menafikan ia ada kaitan dengan warga Pakistan yang diberkas di AS dan didakwa merancang pembunuhan ahli politik di negara tersebut.
Pada Jumaat, Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Christopher Wray turut mengeluarkan kenyataan provokasi.
"Pertuduhan hari ini membuktikan Iran berterusan menyasarkan rakyat AS termasuk ahli politik dan penentang yang mengkritik mereka,” katanya.
Hubungan kedua-dua negara itu pernah tegang selepas Trump mengaku beliau mengarahkan serangan dron yang mengorbankan komander IRGC, Jeneral Qassem Soleimani berhampiran lapangan terbang Baghdad pada Januari 2020.
Trump berdepan dua insiden cubaan bunuh pada tahun ini yang turut mencederakan telinga kanan beliau ketika serangan tembakan semasa perhimpunan kempen pada Julai lalu. - Agensi