JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya menahan seorang wanita warga tempatan bagi membantu siasatan kes penculikan seorang ahli perniagaan melibatkan tebusan RM20 juta pada bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, suspek berusia 57 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Ahad.
"Pada 4 November lalu, seorang lelaki tempatan dan dua lelaki asing berusia antara 29 hingga 49 telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan sama.
"Ketiga-tiga mereka tidak dibenarkan jamin dengan kes akan disebut semula pada 17 November ini.
"Dalam kejadian ini, pihak polis berjaya merampas pelbagai barang kes yang mempunyai kaitan dengan kes yang disiasat termasuk sepucuk pistol, 250 butir peluru hidup, sepasang gari dan wang tunai sebanyak RM1.95 juta, SGD1 juta serta AS$400,000," katanya dalam kenyataan pada malam Sabtu.
Tambah Kumar, tangkapan berkenaan hasil risikan polis dan juga maklumat awam.
Bagaimanapun katanya, orang ramai dinasihat agar tidak membuat spekulasi atau komen yang boleh mengganggu siasatan polis.
Pada 13 Oktober lalu, seorang pemaju berusia 59 tahun dilaporkan diculik sekumpulan individu di hadapan rumahnya di bandar raya ini, kira-kira jam 5 pagi.
Mangsa hanya dibebaskan penculik selepas kira-kira tujuh jam, apabila ahli keluarga membayar wang tebusan sebanyak RM20 juta seperti yang diminta.