ISTANBUL - Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu memberi amaran mengenai krisis yang semakin memuncak di utara Gaza, dengan menyatakan bahawa kebuluran akan berlaku di wilayah itu, lapor Agensi Anadolu.
"Sangat membimbangkan,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus di X, merujuk kepada penemuan baharu daripada Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC).
Data itu katanya menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan besar bahawa kebuluran akan berlaku di utara Semenanjung Gaza.
"Kami menyeru agar peningkatan segera dan akses selamat untuk bantuan kemanusiaan - terutamanya makanan dan ubat-ubatan untuk kekurangan zat makanan yang teruk - dalam masa beberapa hari bukan minggu,” katanya.
Meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa gencatan senjata segera, Israel terus melancarkan serangan kejam di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023.
Serangan Israel telah meragut nyawa 43,550 rakyat Palestin dan mencederakan 102,700 yang lain, menyebabkan hampir seluruh penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan yang berterusan, menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk.
Usaha pengantaraan yang diketuai Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar untuk mencapai gencatan senjata dan pertukaran tawanan antara Israel dan Hamas telah gagal disebabkan keengganan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk menghentikan serangan.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza. - Bernama-Anadolu