SHAH ALAM - Anggota pengaman termasuk Batalion Malaysia (MALBATT) yang bertugas dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) akan diberikan perlindungan sewajarnya jika konflik terus meruncing.
Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, tindakan akan diambil mengikut tatacara tentera pengamanan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan situasi semasa.
Menurutnya, meskipun pasukan tentera negara terdedah risiko, namun kedudukan MALBATT yang agak jauh dari kawasan sempadan Israel memberikan sedikit kelegaan.
"Berkenaan risiko sebenarnya sebelum terlibat dengan mana-mana misi pengaman, mereka (pasukan MALBATT) sudah tahu cabaran yang akan dihadapi sebagai tentera pengaman ini.
"Malah, anggota kita yang terlibat dalam misi ini juga telah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal atau terlatih kerana mereka yang dihantar ke sana (Lubnan) menjalani latihan selama setahun di Pusat Latihan Pengaman Malaysia di Port Dickson, Negeri Sembilan.
"Kita tengok dalam insiden letupan baru-baru ini semua pihak menyatakan simpati, malah ada yang gesa pasukan kita dibawa pulang, namun saya percaya mereka lebih bersemangat untuk berkhidmat kerana risiko itu memang sudah dijangka,” katanya kepada Sinar Ahad.
Pada Khamis, enam anggota MALBATT disahkan mengalami kecederaan susulan insiden yang berlaku berhampiran Stadium Saida, Lubnan ketika dalam perjalanan dari Beirut ke Kem Marakah pada jam 1.54 tengah hari waktu tempatan atau 7.54 waktu Malaysia.
Markas Angkatan Tentera Malaysia melalui satu kenyataan memaklumkan, letupan tersebut menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut, namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.
Mengulas lanjut, Zaki berkata, misi pasukan pengaman negara di kawasan konflik itu penting untuk mengekalkan keamanan.
"Apabila kita putuskan terlibat bermakna kita sahut tugas sebagai tentera pengaman,” katanya.