PENGENDALI Napoli, Antonio Conte mengakui mempunyai kenangan indah sepanjang berkhidmat bersama dengan gergasi Serie A Itali, Inter Milan.
Namun di sebalik itu, Conte menegaskan I Ciucciarelli menjanjikan saingan sengit apabila pendahulu itu berdepan juara bertahan dalam pertarungan teratas di Serie A.
"Ya, sudah tentu amat menyenangkan apabila dapat kembali ke tempat saya bekerja dan menang. Ya, dua tahun yang amat menggembirakan bersama Inter Milan.
"Sejujurnya, bersama Inter Milan satu pengalaman indah yang sentiasa saya bawa dalam diri, seperti semua pengalaman masa lalu yang saya hayati sepenuhnya,” kata Conte.
Conte sebelum itu memberikan talian hayat kepada Inter apabila membantu kelab Milan berkenaan memecahkan cengkaman sembilan tahun Juventus dalam Scudetto.
Bekas pemain tengah Itali itu berjaya menghentikan momentum The Old Lady pada musim 2020/21 bagi merangkul kejuaraan liga buat kali pertama sejak 2009/10.
Kini di Napoli, sebuah kelab yang ingin kembali ke era kegemilangan seperti 2022-23, pasukan Conte berada di puncak Serie A dengan 25 mata selepas 11 perlawanan - satu mata mengatasi Inter menjelang pertembungan di San Siro, pada awal pagi Isnin.
Kemenangan Napoli dalam Serie A terhenti ketika menentang Atalanta hujung minggu lalu apabila I Ciucciarelli diaibkan 0-3 menyaksikan Conte berkata, dia tidak berminat untuk kehilangan tiga mata lagi menentang angkatan Simone Inzaghi.
"Tiga mata sentiasa penting, tidak dapat dielakkan kami akan berdepan pasukan yang hari ini, yang memiliki kekuatan tersendiri. Namun saya tegaskan bahawa kami tidak pergi ke San Siro untuk mengibarkan bendera putih.
"Kami yakin untuk tampil dengan gaya permainan kami, kemudian kita akan lihat apa yang berlaku. Kami membuat persediaan berdepan Inter dengan lebih rapi seperti yang kebiasaan dilakukan selama ini.
"Pertarungan ini menjadi ujian penting, kami akan mengukur diri kami menentang pasukan yang terbaik dan penting juga untuk menilai kemajuan kami. Jangan lupa kami ke sini tiba dengan objektif adalah untuk kekal di puncak selepas perlawanan,” katanya.