TIDAK dinafikan dunia kini telah beralih arah ke dimensi digitalisasi yang menawarkan kecanggihan teknologi dalam semua aspek kehidupan.
Jika menelusuri ‘gelombang’ kedatangan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan, ramai yang melihat perkara itu sebagai satu langkah baik dalam membantu perkembangan murid.
Pun begitu, ada juga yang kurang senang dengan kewujudan teknologi itu kerana ia dilihat mampu menggugat kemenjadian murid menjadi insan berjaya.
Hal itu kerana, teknologi seperti Chat-GPT dilihat mampu menyebabkan golongan tersebut tidak menggunakan keupayaan berfikiran secara kritikal dan kreatif.
Ini kerana, ada dalam kalangan mereka berfikiran bahawa tidak semua maklumat yang diperoleh daripada AI itu tepat dan ia tidak boleh dijadikan sumber rujukan utama dalam pendidikan.
Begitu juga dengan penggunaan AI dalam mempelajari al-Quran, ia tidak sepatutnya dijadikan bahan rujukan.
Hal berkenaan mempelajari al-Quran menggunakan AI telah membawa kepada laporan muka hadapan Sinar Harian pada Ahad.
Berdasarkan laporan itu, pengasas Akademi Quran At Tirmizi, Ahmad Tirmizi Ali menegaskan bahawa umat Islam perlu mendalami panduan membaca al-Quran dengan kembali kepada cara asas Nabi Muhammad SAW menerima kitab suci itu secara bertalaqi iaitu berhadapan dengan guru.
Menurutnya, proses pembelajaran yang bergantung penuh kepada kemudahan teknologi pintar seperti AI tidak sesuai sebagai rujukan utama.
Menjelaskan hal tersebut secara terperinci, Pensyarah Kanan Malaysia-Japan Institusi Teknologi Antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UTM) Kuala Lumpur, Dr Zulhasni Abdul Rahim berkata, maklumat yang dihasilkan oleh ChatGPT atau model AI itu tidak sempurna.
Hal itu kerana, capaian elemennya hanya berdasarkan data raya dan konteks yang diperlukan pengguna, sedangkan dalam bidang keagamaan perlu ada orang yang pakar untuk dirujuk sebagai sumber boleh dipercayai bagi memahami buku agama atau al-Quran dengan lebih jelas.