Pisahkan aspek pengajaran didik pelajar

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada 4 November lalu mengenai program Meja Bulat Diskusi Mencipta Resolusi bertajuk 'Sistem Pendidikan Malaysia: Selepas 60 tahun, di mana silapnya?' Gambar kecil: Abdul Halim

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu membangunkan satu instrumen untuk menilai aspek kognitif, psikomotor dan domain afektif secara berasingan agar sistem pentaksiran pelajar lebih komprehensif pada masa depan.

Pakar Pedagogi dan Pendidikan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Abdul Halim Abdullah berkata, ia kerana jika diteliti tahap penguasaan (TP) dari TP1 hingga TP6, ada yang menggabungkan ketiga-tiga aspek itu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, menurut beliau, ketiga-tiga aspek itu perlu dipisahkan kerana segelintir pelajar mungkin bijak dari segi kognitif atau pembelajaran akademik, tetapi lemah bab psikomotor dan adab, begitu juga sebaliknya.

"Domain afektif atau adab adalah segalanya. Sebab itulah KPM menekankan konsep karamah insaniah yang bukan hanya melahirkan individu cemerlang dari segi kognitif, malah seimbang dalam aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani selari Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FSK).

Iklan

"Bagaimanapun, kementerian perlu telus tentang instrumen yang akan digunakan secara standard di sekolah. Saya pasti bahagian kognitif sahaja, guru sudah bina item ujian. Tetapi, psikomotor dan domain afektif belum nampak (keberkesanan).

"Kalau diteliti tahap penguasaan (TP) dari TP1 hingga TP6 ada yang menggabungkan ketiga-tiga aspek. Bagi saya, ia perlu dipisahkan kerana kadang-kadang pelajar mungkin beradab, tetapi kognitifnya rendah,” katanya kepada Sinar Ahad.

Iklan

Sebelum ini, program Meja Bulat Diskusi Mencipta Resolusi bertajuk ‘Sistem Pendidikan Malaysia: Selepas 60 tahun, di mana silapnya?’ mengemukakan 20 syor untuk diambil tindakan.

Antaranya, sistem pentaksiran berasaskan pembelajaran di sekolah perlu lebih komprehensif dan merangkumi semua aspek kehidupan kerana jumlah A atau kejayaan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang tinggi belum mampu menentukan kejayaan seseorang.

Abdul Halim berpandangan, sistem pendidikan negara sehingga ke hari ini dilihat lebih mengutamakan aspek kognitif semata-mata.

Selain itu, menurut beliau, terdapat segelintir guru yang masih kurang mahir dalam menyampaikan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) kepada ibu bapa.