Tak malu buat kek di bengkel kayu

Iklan
Zaharah mencari pendapatan dengan membuat kek bagi menyara keluarga dan menampung rawatan anak, Muhammad Rayqal yang mempunyai masalah kesihatan sejak lahir.

SHAH ALAM - Ketika pemilik kedai kek lain menjadikan media sosial sebagai platform mempromosikan jualan dengan memuat naik video dan gambar menarik beserta kreativiti, berlainan pula bagi pengguna TikTok dengan nama 'Zaharah Resepi'.

Bermodalkan bengkel kayu yang kelihatan serba kekurangan, wanita berusia 35 tahun itu menolak rasa malu untuk bersiaran langsung di aplikasi tersebut demi membantu keluarga meraih pendapatan tambahan.

Iklan
Iklan

Sering berkongsi video membuat kek di bengkel kayunya, ibu kepada empat cahaya mata itu tidak menyangka hantaran yang dimuat naik memaparkan dirinya menyiapkan dekorasi kek berukuran 8 inci x 16 inci menjadi tular hingga meraih perhatian warga maya.

Berkongsi perkara itu, Zaharah berkata, anak bongsunya, Muhammad Rayqal Muhd Rizal menjadi penguat semangat untuknya menolak rasa malu meskipun bengkel kayunya menjadi latar belakang dalam setiap video yang dimuat naik.

Iklan

Malah wanita dari Pekan, Pahang itu turut mengakui berasa segan pada awalnya dan bimbang dikritik atau diperlekeh kerana keadaan dapur yang serba sederhana.

Antara kek yang dihasilkan Zaharah.

Iklan

"Oleh kerana keadaan anak bongsu yang perlukan rawatan dan perhatian khusus, saya tolak rasa malu dan teruskan dengan buat video.

"Saya hanya seorang pembuat kek kampung tapi Alhamdulillah, selepas video kek besar tular, saya terima banyak tempahan dari luar daerah," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu Zaharah memaklumkan, Muhammad Rayqal, 11 bulan, mempunyai masalah kesihatan berkaitan usus sejak lahir dan hanya bergantung kepada susu sebagai makanan utama.

Menurutnya, anak lelakinya itu tidak boleh berada dalam keadaan kembung perut kerana usus yang sensitif.

"Dia tak macam anak orang lain, tak boleh muntah, tak boleh kembung perut kerana sistem pemakanan sensitif.

"Dia pernah jalani pembedahan dan kos rawatan memang tinggi. Saya anggap dalam musibah, rupanya ada rezeki lain yang ALLAH kurniakan," ujarnya.