Kurang peluang pekerjaan tenaga mahir punca kerja bidang tak setaraf

Iklan
Kekurangan pekerjaan buruh mahir antara faktor menyumbang kepada kira-kira 1.95 juta pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia bekerja dalam pekerjaan berkemahiran rendah setakat suku ketiga 2024. Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhamad Rias)

SHAH ALAM - Kekurangan pekerjaan buruh mahir antara faktor menyumbang kepada kira-kira 1.95 juta pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia bekerja dalam pekerjaan berkemahiran rendah setakat suku ketiga 2024.

Pakar ekonomi, Dr Muhamad Rias KV Zainuddin berkata, walaupun ia lebih baik berbanding tidak bekerja langsung, namun kebanyakan mereka tidak menerima pendapatan setimpal dan tidak selaras dengan tahap pendidikan.

Iklan
Iklan

Katanya, pelaburan pendidikan yang dilakukan bagi menamatkan pengajian lebih tiga tahun selain pinjaman pendidikan lebih RM20,000, tidak memberikan pulangan yang baik.

"Ini kerana pekerjaan ini (berkemahiran rendah) dapat mereka sertai tanpa memerlukan ijazah. Perkara ini juga menyebabkan semakin ramai lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang tidak berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, penurunan bilangan penganggur kepada 555,300 yang dilaporkan pada bulan September oleh Jabatan Perangkaan Malaysia adalah perkembangan positif dalam pasaran buruh Malaysia.

"Namun kerajaan perlu sedar ia bukan isu sebenar dialami siswazah masa kini di negara kita.

Iklan

"Jumlah 1.95 juta atau 36.8 peratus pekerja di Malaysia tidak bekerja sama aras dengan tahap pendidikan mereka adalah sesuatu yang membimbangkan.

"Perkara ini disebut sebagai guna tenaga tidak penuh. Guna tenaga tidak penuh adalah keadaan di mana individu yang mempunyai kelayakan tertiari (pendidikan selepas SPM) seperti diploma dan ijazah sarjana muda, tidak bekerja sebagai buruh mahir, sebaliknya mereka bekerja di buruh separuh mahir atau tidak mahir,” katanya.

Beliau yang merupakan pensyarah di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu berkata, kerajaan diharap terus memupuk perkembangan sektor-sektor berteknologi tinggi, seperti teknologi maklumat, automasi, bioteknologi, dan kejuruteraan dan terus mempergiat sektor berintesifkan kemahiran.

"Kerajaan juga harus mempergiat usaha menarik pelaburan masuk yang dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi buruh mahir di Malaysia,” ujarnya.

Pada Jumaat, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan kira-kira 1.95 juta pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia bekerja dalam pekerjaan berkemahiran rendah setakat suku ketiga 2024, sekali gus menunjukkan peningkatan kecil sebanyak kira-kira 100,000 pekerja berbanding suku sebelumnya.

Kumpulan yang bekerja tidak setaraf dengan kelayakan ini mewakili 36.8 peratus daripada jumlah pekerja berpendidikan tinggi.