KUANTAN - Penduduk Kampung Tok Machang dan Kampung Ulu Gali, Raub dikejutkan dengan kejadian banjir yang melanda kampung itu ekoran hujan lebat berterusan awal pagi Ahad.
Limpahan air Sungai Gali menyebabkan kawasan rendah di kampung tersebut dinaiki air dan menjejaskan 25 rumah penduduk membabitkan 99 mangsa sehingga jam 9 pagi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub dalam kenyataannya memaklumkan, semua mangsa kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di kampung berkenaan.
Menurutnya, seramai 89 mangsa dari 23 keluarga kini berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang yang dibuka sejak jam 4.30 pagi tadi manakala 10 lagi mangsa dari dua keluarga berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Gali yang dibuka jam 6.30 pagi.
"Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Raub menerima panggilan daripada orang awam jam 3.45 pagi berhubung kejadian banjir tersebut.
"Anggota APM Raub segera ke lokasi bagi membantu memindahkan penduduk terjejas ke PPS yang dibuka," katanya.
Beliau berkata, maklumat mangsa terlibat sudah diambil dan usaha membantu mangsa kini dalam tindakan lain-lain agensi berkaitan.