[VIDEO] PRN Sabah: Pas ada mekanisme sendiri susun atur gerak kerja

Iklan

BATU PAHAT - Pas melalui Perikatan Nasional (PN) mempunyai mekanisme dan gerak kerja sendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 nanti.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya menerima keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang tidak memasukkan Pas untuk rundingan kerjasama bagi menghadapi PRN Sabah.

Iklan
Iklan

"Kita akan bincang dalam Majlis Tertinggi PN dan melihat mekanisme berdepan PRN Sabah. Sabah ini unik berbanding negeri-negeri lain.

"Bagi pemilihan calon juga akan difikirkan kemudian kerana ketika ini kami perlu melihat dua perkara iaitu rakan gabungan dan kedua, kerusi-kerusi yang pernah diwakili PN di Sabah," katanya.

Iklan
Tuan Ibrahim

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-70 Pas Johor yang dirasmikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ​di Kompleks Pas Batu Pahat di Rengit pada malam Sabtu.

Hadir sama Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.

Iklan

Ketika ditanya sama ada PN akan bergerak sendiri dalam menghadapi PRN Sabah selepas ditolak untuk bergabung dengan GRS, Tuan Ibrahim menyatakan perkara itu belum diputuskan dan akan dibincangkan kemudian.

Majlis Sambutan Ulang Tahun ke 70 Pas Johor yang dirasmikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ​di Kompleks Pas Batu Pahat di Rengit pada malam Sabtu.

Pada Sabtu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, parti komponen PN itu (Pas) buat masa ini tidak tersenarai dalam proses rundingan yang akan dilakukan.

Ketika ini, Pas mempunyai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, iaitu Aliakbar yang dilantik ketika PN masih sebahagian daripada kerajaan negeri selepas PRN16 pada September 2020.

Sementara itu, Tuan Ibrahim memberitahu gerak kerja sedang disusun di semua negeri termasuk Johor bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Sambutan Ulang Tahun ke-70 Pas Johor di Kompleks Pas Batu Pahat di Rengit pada malam Sabtu.

"Kita sedang susun gerak kerja dan buat pemantauan di semua negeri bukan saja di Johor, terutama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

"Selain itu, Pas juga akan memperkasakan tempat yang dimenangi dan memberi fokus kepada sasaran DUN serta Parlimen dalam merangka gerak kerja kita

"Ini kerana selepas ini, pilihan raya paling dekat di Melaka dan selepas itu kemungkinan di Johor," ujarnya.