KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki yang cuba mengganggu tugas pegawai imigresen mengundang padah apabila ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan terkemuka di ibu kota pada Ahad.
Individu terbabit mulanya mendakwa mengejar individu lain yang mencuri telefon bimbitnya, bagaimanapun pemeriksaan mendapati kejadian berkenaan tidak berlaku.
Helah lelaki itu terbongkar apabila dia dipercayai menunjukkan laluan tikus kepada gadis pelayan warga asing yang cuba melarikan diri ketika serbuan dijalankan.
Selain itu, terdapat gadis warga asing yang menyembunyikan diri di sebalik ruangan pentas di pusat hiburan berkenaan.
Gadis dipercayai dari Thailand itu mendakwa mahu ke tandas, namun tindakannya itu berjaya dikesan pegawai imigresen bertugas.
Pusat hiburan terbabit yang beroperasi sejak sekian lama itu turut dikesan menyajikan gadis pelayan warga asing selain terdapat beberapa kalungan bunga bernilai antara RM100 hingga RM5,000.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan menerusi Ops Gegar #KLStrikeForce dijalankan pihaknya susulan aduan diterima masyarakat awam.
Beliau berkata, maklumat orang ramai serta risikan dijalankan mendapati terdapat kegiatan tidak bermoral yang dijalankan di pusat hiburan ini selain tindakan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Susulan itu, operasi bermula kira-kira jam 12.45 tengah malam dijalankan seramai 29 pegawai Imigresen Kuala Lumpur melibatkan pusat hiburan ini.
"Seramai 215 individu terdiri daripada pelanggan serta pekerja premis telah diperiksa dalam operasi ini," katanya ketika sidang akhbar selepas operasi berkenaan pada Ahad.
Katanya, susulan itu seramai 89 individu terdiri daripada warga asing dan tempatan telah ditahan.
"Antara ditahan merupakan individu berumur antara 23 hingga 58 tahun terdiri daripada 61 wanita warga Thailand, 10 (Vietnam) dan seorang merupakan warga Laos, enam lelaki Bangladesh dan dua lelaki China manakala warga tempatan terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita.
"Tindakan diambil melibatkan kesalahan tidak mempunyai permit yang sah, salah guna permit, tinggal lebih masa serta dipercayai melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat warga asing yang ditahan dipercayai memasuki negara ini sebagai pelancong.
"Kesalahan ketara dikesan melibatkan salah guna pas, mereka memasuki Malaysia kononnya untuk melancong namun akhirnya didapati bekerja secara tidak sah di negara ini.
"Siasatan awal terhadap individu warga tempatan ini dipercayai mereka ini bekerja sebagai penjaga dan pengurus premis," katanya.
Wan Mohammed Saupee berkata, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.
"Tindakan melibatkan warga asing yang ditahan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana pas tamat tempoh dan tinggal lebih masa.
"Individu tempatan yang ditahan diambil tindakan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E akta yang sama kerana melindungi pendatang tanpa izin," katanya.