BATU PAHAT - Peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang perlu dibincangkan melalui parti dan tidak boleh dilakukan secara sendirian.
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagi Pas mana-mana ahli Parlimen yang hendak adakan perbincangan mesti melalui parti kerana ahli Parlimen mewakili parti
"Mereka mesti mendapat mandat daripada parti. Begitu juga jika ada memorandum persefahaman (MoU) dan sebagainya mesti perlu sokongan parti.
"Tidak boleh pergi sendirian kerana ahli Parlimen ini mewakili parti. Apa- apa pun parti perlu tahu," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan 70 tahun Pas Johor yang dirasmikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Kompleks Pas Kawasan Batu Pahat Rengit pada malam Sabtu.
Hadir sama Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.
Pada Rabu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Fadillah Yusof dilaporkan berkata, kerajaan masih terbuka untuk berunding dengan mana-mana ahli Parlimen termasuk wakil rakyat pembangkang berhubung penyaluran peruntukan.
Fadillah berkata, setakat ini, hanya seorang ahli Parlimen, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang telah memberi maklum balas selepas rundingan dibuat.
Pada 15 September lalu, pembangkang secara sebulat suara menolak draf Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung peruntukan ahli Parlimen atas empat sebab utama, termasuk kebimbangan bahawa beberapa syarat dalam dokumen tersebut mungkin bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.