RANTAU PANJANG - Seorang lelaki dicekup Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa selepas membawa 1,296 anak pokok dipercayai diseludup dari Thailand berjumlah RM134,500 di Kampung Parit Air di sini pada Sabtu.
Tangkapan suspek berusia 30 tahun dan rampasan dilakukan jam 1.30 petang semasa Op Taring Wawasan selepas menahan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit telah menemui 98 pokok jenis Buchida Batik, jambu muda (200), longan (298) dan bidara (700).
"Kesemua pokok tersebut dipercayai diseludup dari Thailand tanpa dokumen yang sah.
"Suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup tumbuhan tersebut ke pasaran tempatan," katanya pada Ahad.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.
Ujarnya, suspek dan kesemua barangan ramapsan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.