SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang menetap atau melawat Pakistan perlu berwaspada dan mengikuti perkembangan pihak berkuasa tempatan serta sumber berita boleh dipercayai susulan letupan bom di stesen kereta api di bandar Quetta pada Sabtu.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya kini sedang menilai keadaan dan mengumpul maklumat berhubung insiden tersebut.
"Sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting, kami akan berkongsi kemas kini yang difikirkan bersesuaian.
"Rakyat Malaysia masih belum mendaftar kehadiran amat digalakkan berbuat demikian melalui E-Konsular iaitu https://ekonsular.kln.gov.my/ bagi memastikan bantuan dan kemas kini diterima tepat pada masa,” katanya pada Ahad.
Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia di Pakistan boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Karachi yang terletak di H. No. 7-A Main Khayaban-e-Shamsheer, DHA V, 75500 Karachi, Pakistan atau menerusi panggilan telefon 92 21 3529 5618/19 / 92 21 3529 5614/17 serta e-mel iaitu mwkarachi@kln.gov.my.
Pada Sabtu, media melaporkan sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh manakala lebih 40 lagi cedera dalam kejadian berkenaan.
Letupan di wilayah Balochistan itu dipercayai berpunca daripada serangan bunuh diri.