KUALA LUMPUR - Busuk, kotor dan meloyakan itu gambaran keadaan bilik sebuah hotel bajet di Seri Petaling dipercayai dijadikan sarang pelacuran yang diserbu pada Sabtu.
Kegiatan pelacuran yang menawarkan khidmat gadis warga asing itu dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu terbongkar dalam serbuan Ops Noda dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Premis tiga tingkat itu turut dilengkapi dengan akses keselamatan selain terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa sudut dalam bahagian bangunan berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, operasi dijalankan melibatkan empat premis hotel bajet dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di Cheras, Sri Petaling, Jalan Ipoh, dan Danau Kota.
Menurutnya, serbuan bermula kira-kira jam 8 malam itu berjaya menahan lapan wanita terdiri daripada warga Indonesia, Thailand, Vietnam dan Laos berumur lingkungan 24 hingga 35 tahun.
"Selain itu turut ditahan lima lelaki tempatan berumur 20 hingga 61 tahun dipercayai bertindak sebagai penjaga premis hotel bajet terbabit.
"Serbuan sama turut merampas 62 keping kondom, tuala (21), botol minyak pelincir (22), gulung tisu (18), tisu basah (tiga) dan wang tunai RM905," katanya pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan mendapati pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat gadis warga asing itu boleh menempah menerusi aplikasi dalam talian serta secara 'walk in'.
"Pelanggan yang memilih gadis 'pilihan' akan datang ke hotel ini sebelum dibawa ke bilik-bilik yang disediakan.
"Semakan mendapati khidmat gadis pelayan ini ditawarkan antara RM250 hingga RM350 untuk satu jam," katanya.
Rusdi berkata, kesemua individu ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 372B/373 Kanun Keseksaan, Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.