BESUT - Penduduk yang tinggal berdekatan sungai di sini telah mula membuat persiapan untuk berdepan bencana banjir dengan memindahkan barangan ke tempat lebih selamat.
Nik Azizah Nik Mohd, 49, berkata, dia telah memindahkan barangan ke atas loteng rumahnya lebih awal kerana bimbang dilanda banjir luar jangka.
Menurutnya, bencana banjir ibarat 'rutin' saban tahun memandangkan kediamannya yang berada kira-kira 20 meter dari Sungai Jertih, di sini merupakan yang terawal dinaiki air sekiranya hujan lebat tidak berhenti.
"Kalau ikutkan rumah saya sudah 28 tahun dinaiki air, jadi tahun ini saya buat persiapan banjir lebih awal berbanding tahun-tahun sudah.
"Sekarang saya telah mula pindahkan barang-barang dalam rumah ini ke bahagian loteng sedikit demi sedikit sebagai persediaan awal banjir," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya dekat Kampung La, Hulu Besut di sini.
Nik Azizah yang bekerja sebagai tukang masak berkata, banjir besar melanda dua tahun lalu menyebabkan rumahnya ditenggelami air lebih satu meter dan segala peralatan rumah rosak.
Katanya, air memasuki rumah dalam tempoh singkat disebabkan disebabkan kawasan itu lebih rendah berbanding tempat lain.
"Waktu banjir tahun 2022, rumah saya naik air mendadak, jadi saya tak sempat selamatkan barang-barang terutama barangan elektrik.
"Selepas bencana itu, saya ada dapatkan bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu membina loteng ini sebagai tempat menyimpan barang ketika banjir," katanya.
Sebelum ini, Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh dijangka mencapai tahap kemuncak mulai hujung November ini hingga Januari tahun depan termasuk di Sabah dan Sarawak.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, berdasarkan situasi itu, ramalan jangka panjang kebanyakan model menunjukkan taburan hujan diterima akan lebih 20 hingga 40 peratus berbanding tahun lalu.