IPOH - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mendakwa tindakannya terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mendapat sokongan penuh daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, sebelum tindakan penggantungan ahli jemaah pengarah serta siasatan dibuat terhadap Nafas, pertemuan telah dibuat dengan Presiden UMNO itu bagi menjelaskan perkara tersebut.
Jelas beliau, ia penting bagi menutup sebarang spekulasi berkaitan politik mengenai tindakan siasatan yang sedang dibuat terhadap Nafas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Sebab spekulasinya dimainkan isu Amanah (Parti Amanah Negara) mahu kuasai Nafas, nak membuang yang orang-orang UMNO yang berada di dalam Nafas. Sebab itu saya beritahu kepada Zahid dan dia bersetuju 100 peratus. Tak ada kena-mengena dengan parti politik di sini.
"Yang pentingnya dia (Zahid) pun bersetuju (siasatan) dan dia sebut pula nama-nama orang yang berkaitan, tapi saya tak mahu sebut di sinilah.
"Itu serah kepada SPRM. Bukan kita nak menghukum sesiapa dengan tanpa maklumat yang kita dapat dengan jelas," katanya kepada pemberita.
Beliau yang juga Presiden Amanah berkata demikian selepas menyempurnakan Konvensyen Amanah Negeri Perak 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Ahad.
Hadir sama pada konvensyen berkenaan, Pengerusi Pakatan Harapan Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi dan beberapa pimpinan parti kerajaan Perpaduan di Perak.
Sementara itu, Mohamad berkata, Majlis Penasihat Nafas diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman yang telah memulakan tugas selepas dilantik pada 8 November lalu diberikan kebebasan untuk melakukan agenda reformasi pertubuhan berkenaan.
"Kita beri kebebasan sebab dia orang profesional dan kita memilihnya berdasarkan integriti semasa menjadi pegawai dahulu.
"Tan Sri ini nampaknya sanggup memikul tanggungjawab untuk melihat tata kelola dalam Nafas itu sendiri.
"Saya nampak bila keadaan dapat diperbetulkan, kita akan bergantung kepada reformasi yang berlaku dalam Nafas itu sendiri.
"Bila ia selesai, baru kita akan balik semula dengan pindaan-pindaan baharu yang akan kita kemukakan," katanya.
Pada 2 November lalu, SPRM memulakan siasatan berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.
Difahamkan beberapa siri pembongkaran telah dilakukan suruhanjaya berkenaan di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan tidak akan menghalang dan masuk campur dalam siasatan terhadap Nafas serta Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) oleh pihak berkuasa termasuk SPRM.
Beliau berkata, siasatan perlu dilakukan dengan adil tanpa mengira pangkat dan jawatan ataupun sama ada melibatkan syarikat kerajaan mahupun swasta.
Sehari sebelum itu, media melaporkan Perlembagaan Nafas digantung berkuat kuasa pada 1 November 2024 bagi menambah baik tata kelola dan tadbir urus pertubuhan tersebut.
Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin berkata, selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang, beliau mengeluarkan arahan tersebut di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109), susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan operasi dan fungsi Nafas.