NARATHIWAT - Pihak Penjara Wilayah Narathiwat menafikan tuduhan bahawa enam tahanan warga Malaysia menerima layanan buruk di penjara itu.
Jurucakap Penjara Wilayah Narathiwat berkata, semua tahanan dibenarkan menunaikan solat dan diberi makanan halal yang dimasak oleh tukang masak beragama Islam tiga kali sehari, sama seperti banduan beragama Islam lain.
"Bagi banduan wanita Islam, mereka dibenarkan memakai tudung dan berbaju lengan panjang.
"Layanan yang diberikan adalah sama rata tanpa mengira kewarganegaraan, sama ada rakyat Thailand atau Malaysia.
"Khabar angin bahawa tahanan dilayan dengan kejam adalah tidak tepat sama sekali,” katanya kepada Bernama.
Beliau menjelaskan bahawa enam tahanan warga Malaysia berada dalam keadaan sihat dan menjalani rutin harian seperti tahanan lain.
"Mereka kini ditempatkan di sel tahanan sementara dan dipisahkan antara lelaki dan perempuan kerana kes mereka masih dalam peringkat siasatan lanjut," katanya.
Jelasnya, keluarga tahanan dibenarkan melakukan lawatan sekali dalam seminggu dan permohonan boleh dilakukan secara dalam talian.
"Penjara ini baru empat tahun beroperasi berbanding penjara lama di tengah bandar Narathiwat dan segala kemudahan di penjara ini masih baik.
"Penjara ini hanya menempatkan tahanan bagi kesalahan dadah, samun dan mendatangkan kecederaan sahaja berbanding di Penjara Songkhla yang menempatkan tahanan bagi kes berat seperti membunuh,” katanya.
Setakat ini, terdapat 30 tahanan warga Malaysia daripada jumlah keseluruhan 2,879 tahanan di penjara itu.
Media sebelum ini melaporkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi terkenal dari Kelantan yang berusia antara 25 dan 35 tahun kini ditahan reman di penjara itu sementara menunggu tarikh pendakwaan selepas ditahan dalam satu serbuan polis narkotik di sebuah hotel berhampiran Sungai Golok awal bulan ini atas kesalahan memiliki dadah. - Bernama