PEKAN - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang dipercayai merempuh seekor lembu melintas jalan di Kilometer 10, Jalan Kuantan-Chini di sini pada Sabtu.
Dalam kemalangan kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Muhammad Zulhijan Kafli, 29, beralamat dari Felda Chini Timur 02 di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Pekan, Superitenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari arah Felda Chini Timur menghala ke Felda Chini.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengelak lalu terlanggar seekor lembu yang sedang melintas lalu terjatuh.
"Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.
"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.