Banjir: Penduduk mula simpan barang di tempat tinggi, elak tanggung rugi

Iklan
Hazlini akan meletakkan peti ais dan barangan elektrik yang lain di tempat tinggi bagi mengelakkan ditenggelami banjir.

KUANTAN - Penduduk di dua kampung yang saban tahun terkesan dengan banjir sudah membuat persiapan termasuk menyimpan barang di tempat tinggi berikutan ramalan berlaku Monsun Timur Laut (MTL) bermula Selasa lalu.

Rata-rata penduduk di Kampung Razali dan Belukar memberitahu, langkah berjaga-jaga diambil bagi mengelak daripada menanggung kerugian seperti sebelum ini.

Iklan
Iklan

Penduduk Kampung Razali, Hazlini Azhar, 48, berkata, setiap tahun berdepan dengan bencana itu dan sudah semestinya barangan berharga seperti barangan elektrik akan ditempatkan di kawasan lebih tinggi.

Menurutnya, persiapan lebih awal bagi mengurangkan kadar kerugian yang dialami.

Iklan
Mariam menunjukkan mesin adunan bagi membuat kuih antara barang berharga yang akan diselamatkan sebelum dilanda banjir.

"Saya buat para (rak) tinggi sikit untuk letak barang, kalau tidak semua barang ditenggelami air jika tiada para.

"Cuma (buat masa sekarang ) tinggal yang dipakai harian seperti baju dan peti sejuk sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Ahad.

Iklan

Bagi mengelak barang musnah akibat banjir, pembantu kedai makan itu juga memberitahu, kerusi turut ditindan supaya lebih tinggi bagi membolehkan barang diletakkan.

Hazlini bagaimanapun berharap bencana pada tahun ini tidak seperti 10 tahun lalu.

"Kalau berlaku juga (banjir besar), kita kena redalah," ujarnya ibu tunggal lima anak itu.

Pesara, Rahman Abdul, 56, memberitahu, dia masih belum membuat sebarang persiapan kerana tiada barang berharga dalam rumah yang didiaminya sejak 20 tahun lalu.

Katanya, dokumen penting juga sudah ditempatkan di kawasan selamat.

"Tidak banyak barang elektrik di rumah saya, cuma ada televisyen, mesin basuh, peti sejuk dan periuk nasi elektrik.

"Barang itu, nanti bila sudah hujan lebat, saya angkut masuk dalam kereta," katanya yang memiliki dua anak.

Menurut penduduk Kampung Belukar pula, Mariam Jusuh, 55, pengalaman banjir buruk kira-kira 10 tahun lalu membuatkan dirinya lebih bersedia.

Dia yang membuat kuih berkata, perkara pertama yang akan difikirkan selepas tiba musim tengkujuh ialah mesin dan peralatan mengadun kuih miliknya.

"Setiap tahun, saya akan selamatkan barang dan peralatan niaga, sebab ini sumbangan Zakat Pahang.

"Mesin ini sangat mahal dan bukan mudah untuk diperoleh, jadi sebelum berlaku apa-apa alihkan dulu peralatan ini," luahnya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan musim tengkujuh di Malaysia bermula 5 November dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Dalam tempoh berkenaan lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah