Khutbah Jumaat platform nasihati jemaah, bukan memecahbelahkan - Mohd Na'im

Iklan
Mohd Na'im (tiga dari kanan) ketika Program Santuni Komuniti Madani Kampung Angkat di Kampung Baru pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Khatib di seluruh negeri diingatkan agar menjadikan khutbah Jumaat sebagai platform untuk menasihati jemaah yang hadir agar bersatu padu dan bukan sebaliknya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, ia tidak sepatutnya menjadi pemecah belah, lebih-lebih lagi menggunakan mimbar khutbah untuk memfitnah.

Iklan
Iklan

"Saya ingin nasihat kepada semua khatib bukan sahaja di Wilayah Persekutuan tetapi di semua negeri yang kita ada tanggungjawab.

"Apa tujuan khutbah? Khutbah Jumaat ini cuma sekali seminggu, jadi sepatutnya digunakan dalam tempoh tersebut untuk menasihatkan jemaah yang hadir agar bersatu padu dan bukan memfitnah benda tidak elok," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Program Santuni Komuniti Madani Kampung Angkat di Kampung Baru di sini pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan mengenai tindakan seorang khatib sebuah masjid di Padang Serai, Kedah yang dikatakan mengupas isu pemberian kewarganegaraan kepada rakyat China ketika menyampaikan khutbah Jumaat.

Iklan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu yang dilihat sebagai penyalahgunaan pentas khutbah dan mencemarkan institusi masjid akan disiasat oleh Pasukan Khas 3R Bukit Aman.

Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) melalui penguatkuasaan boleh mengambil tindakan terhadap khatib berkenaan berikutan memberi khutbah atas dasar tidak mempunyai tauliah.

"Ia berlaku di Kedah dan seperti mana kita sedia maklum, kuasa agama termasuklah mendrafkan dan memberi khutbah terletak di bawah kuasa negeri.

"Kalau hasil siasatan polis mendapati khutbah tersebut menimbulkan keresahan, ketegangan kaum, negeri tersebut mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan susulan," ujarnya.