"TERIMA kasih sahabat, sayang sangat kamu... semoga kita kekal sampai mati @fadbocey @acheykintangkintung, kalau aku mati tolong kebumikan aku tau..."
Pesanan itu diluahkan oleh Allahyarham Abam Bocey atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan buat dua sahabatnya seolah-olah tahu ajalnya akan tiba.
Menerusi komen video ucapan hari lahirnya yang ke-31 tahun lalu, Allahyarham sempat menitipkan pesanan buat dua sahabatnya itu, Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah dan Mohd Fadzlie Mohd Nizam (Fad) semoga persahabatan mereka kekal sampai mati dan rakan baiknya itu yang akan mengebumikan jenazahnya apabila dia meninggal dunia kelak.
"Telah ku tunaikan Bamm... walaupun ianya gurauan yang menjadi kenyataan... #bocey #kitabaikramaisayang..." luah Achey menerusi status dimuat naik di Instagramnya.
Achey juga memohon kepada peminat dan orang ramai untuk terus mendoakan kesejahteraan Allahyarham dalam setiap detik yang terluang.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelawak Abam Bocey meninggal dunia'Penat macam mana pun Abam tak pernah tolak program dakwah'
'Abam mungkin penat sebab banyak kerja dan kurang rehat'
Fad juga dalam muat naik di Instagramnya semalam turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak berpeluang memberikan penghormatan terakhir buat sahabatnya itu kerana berada di Tokyo, Jepun ketika ini.
"Ya ALLAH, ampuni dia, Kau rahmati dia ya ALLAH, mudahkan urusan dia ya ALLAH... maafkan aku sahabat," tulisnya.
Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, yang juga anggota kumpulan Bocey selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu di sini kira-kira jam 7.30 petang semalam namun kebaikannya masih lagi disebut netizen sehingga kini.
Kata kedahct,"Kumpulan Jambu-kehilangan PakYus, Osbon-kehilangan Os, Bocey-kehilangan Abam, kami- kehilangan lawak dan jenaka mereka yang pernah menghiburkan kita.
"Mereka tiada gantinya... pergi tak kembali namun sentiasa mekar dalam hati sanubari. Al-Fatihah, Insya-ALLAH berbahagialah kalian di alam abadi. Moga ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Kami jua pasti menyusul suatu hari nanti...," tulis peminat itu lagi.
Ujar nurazura_sharif,"Walaupun tak pernah jumpa... tapi pemergian Abam sangat terkesan, semoga Abam tenang dan bahagia di sana."