Sekatan hiburan di Kelantan bukan punca anak muda berhibur di Golok - Exco

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai anak muda Kelantan 'banjiri' Golok untuk berhibur. Gambar kecil: Asri Mat Daud

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak melihat sekatan hiburan di negeri ini punca rakyat terutama golongan muda terpaksa ke Golok, Thailand untuk mencari hiburan sebagaimana yang dihebohkan.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Asri Mat Daud berkata, pihaknya tidak menghalang aktiviti hiburan sebaliknya telah meletakkan pekeliling yang terbaik dalam mengawal hiburan di Kelantan.

Iklan
Iklan

"Kami tidak melihat sekatan hiburan satu alasan. Bahkan ada rakyat yang menegur kami (kerajaan negeri) agar kurangkan hiburan.

"Anak muda memilih untuk ke negara jiran mungkin atas faktor tarikan murah, dekat serta bebas daripada penguatkuasaan," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas laporan anak muda Kelantan membanjiri Golok untuk berhibur.

Mengulas lanjut, Asri berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan.

Iklan

Ujarnya, adalah mustahil untuk membuat sekatan perjalanan, namun berharap didikan melalui dasar Membangun Bersama Islam (MIB) yang telah diterapkan di negeri ini akan menjadi benteng kepada anak-anak muda untuk memilih mana baik serta buruk.

"Kami yakin, yang melakukan perbuatan terlarang itu adalah bukan daripada yang dekat dengan didikan agama.

"Mereka yang selalu bersama program kerajaan negeri dan bersama komuniti keagamaan tidak melakukan perkara sedemikian ketika berada di Thailand," katanya.

Menurut beliau, Kelantan juga konsisten dengan aliran sekolah agama sejak dahulu dan ia bukan soal wajib tetapi menyediakan pilihan terbaik untuk anak-anak mempelajari aliran tersebut atau tahfiz disamping aliran kontemporari.

Asri berkata, hari ini produk aliran agama dan tahfiz Kelantan telah berada sebagai kepimpinan utama di Putrajaya, di negeri-negeri lain apatah lagi di Kelantan sendiri.

Ujarnya, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah besar bajet untuk mendidik anak-anak di Kelantan melalui sekolah agama atau tahfiz.

"Malah menjadi tumpuan ibu bapa dari luar Kelantan untuk menghantar anak-anak bersekolah agama di sini.

"Pendidikan seawal sekolah menengah adalah hasrat menyediakan rakyat agar mampu membuat keputusan bagi diri dan keluarga masing-masing agar menjauhi tempat-tempat maksiat," katanya.