KOTA KINABALU - Seorang wanita berasal dari Sabah yang sedang terlantar sakit akibat serangan strok memerlukan dana hampir RM100,000 bagi menampung kos rawatannya sejak seminggu dirawat Hospital Hana, Cheongju-si, Chungcheongbuk-do, Korea Selatan.
Allyria Tulurin@Fulurin, 22, yang mengalami pecah pembuluh darah di bahagian kepala terpaksa dibedah bagi menyelamatkan nyawanya sebaik dihantar ke hospital dalam kejadian Ahad lalu.
Menurut Theresia, 26, adiknya itu mengalami gejala sakit kepala dan muntah sebelum diserang strok di kediamannya di daerah Eumseong-re di wilayah Chungcheong.
"Sebelum kejadian, adik saya keluar ke bandar Seoul dan selepas pulang dari bandar, dia mengalami sakit kepala yang melampau dan muntah.
"Dia sempat menghubungi seorang lagi kakak saya yang berada di sana untuk meminta bantuan dan sebaik tiba, Allyria sudah tidak sedarkan diri," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Katanya lagi, susulan kejadian itu, kakaknya bertindak membawa Allyria ke hospital bagi mendapatkan rawatan sebelum doktor mencadangkan supaya dia dibedah dengan segera.
"Hasil pemeriksaan dan imbasan mendapati pembuluh darah di bahagian kepalanya pecah dan menyebabkan dia perlu dibedah segera.
"Adik saya kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) untuk pemantauan dan rawatan lanjut. Bagaimanapun, semalam dia telah dipindahkan ke wad biasa namun keadaannya masih belum stabil," katanya.
Theresia berkata, mereka sekeluarga di Sabah bersyukur adiknya itu berjaya melalui detik getir pembedahan tersebut, namun dalam masa sama kini buntu memikirkan kos yang terpaksa dihadapi sepanjang menerima rawatan di hospital tersebut.
"Menurut kakak saya yang menjaga Allyria ketika ini di sana, doktor memaklumkan bahawa anggaran untuk kos rawatan sekitar 12 juta Won namun belum termasuk kos di ICU dan wad biasa.
"Untuk kos pembedahan pula dianggarkan sekitar 13 juta Won dan keseluruhannya kami memerlukan sekitar hampir RM100,000 untuk membayar semua bil tersebut," katanya.
Menurut Theresia, keluarga bukan datang dari keluarga yang senang dan ketika ini mereka buntu memikirkan di mana mahu mendapatkan wang tersebut.
"Jadi saya berharap ada pihak yang sudi menyalurkan dana kepada kami untuk menyelesaikan bil hospital dan kalau boleh dapat membawa adik pulang segera ke Sabah.
"Kami bimbang, lebih lama dia menerima rawatan di sana, maka bil akan semakin bertambah," katanya.
Sehubungan itu, Theresia berkata, orang ramai yang ingin membantu keluarganya boleh menyalurkan bantuan menerusi nombor akaun bank CIMB milik bapanya, Tulurin@fulurin Anjimin (10050016890528) atau berhubung terus di talian WhatsApp 0138697026.