Pelakon veteran terkenal, Delhi Ganesh meninggal dunia pada usia 80 tahun

Iklan
Kesihatan Delhi Ganesh dilaporkan mula merosot sejak tiga hari lalu sebelum meninggal dunia pada malam Sabtu.

CHENNAI - Pelakon veteran versatil India, Delhi Ganesh menghembuskan nafas terakhir di Chennai, Tamil Nadu, pada malam Sabtu akibat komplikasi kesihatan pada usia 80 tahun.

Pemergian beliau disahkan keluarga mendiang menerusi satu kenyataan kepada media tempatan.

Iklan
Iklan

"Dengan penuh rasa duka, kami ingin memaklumkan bahawa bapa kami, Delhi Ganesh, telah meninggalkan kami pada 9 November (semalam) sekitar jam 11 malam," kata kenyataan itu.

Upacara penghormatan terakhir mendiang akan diadakan di Ramapuram, Chennai, pada hari Isnin, jam 10 pagi.

Iklan

Difahamkan kesihatan mendiang mula merosot sejak tiga hari lalu sebelum meninggal dunia pada malam Sabtu.

Dilahirkan pada 1 Ogos 1944 di Tirunelveli, Delhi Ganesh, atau nama asalnya Ganesan, memulakan karier seninya pada tahun 1976 menerusi filem arahan K. Balachander, Pattina Pravesam.

Iklan

Nama pentas 'Delhi Ganesh' yang diberikan Balachander itu menjadi identiti ikoniknya sepanjang kerjaya cemerlangnya.

Sepanjang penglibatannya dalam industri perfileman, Delhi Ganesh berlakon lebih daripada 400 filem pelbagai bahasa seperti Tamil, Telugu dan Malayalam.

Sebelum menceburi dunia seni, beliau berkhidmat dalam Tentera Udara India selama sedekad, dari 1964 hingga 1974.

Kemampuan beliau untuk menghidupkan pelbagai watak, sama ada sebagai antagonis, rakan karib atau bapa penyayang, menjadikan namanya dikenang.

Antara filem ikonik yang dilakonkannya bersama bintang ternama Kamal Haasan termasuk Nayakan (1987), Michael Madhana Kama Rajan (1990), Apoorva Sagodharargal (1989), dan Thenali (2000).

Filem terakhirnya, Indian 2, turut dibintangi oleh Kamal Haasan pada tahun ini.

Sepanjang kariernya, pencapaian Delhi Ganesh turut dihargai dengan anugerah berprestij seperti Anugerah Hadiah Khas Filem Negeri Tamil Nadu pada tahun 1979 untuk lakonannya dalam Pasi serta Anugerah Kalaimamani pada tahun 1994 sebagai penghormatan atas sumbangannya dalam kesenian.

Mendiang juga aktif dalam dunia teater sebagai ahli kumpulan teater Dakshina Bharata Nataka Sabha yang berpusat di Delhi.

Di penghujung kerjayanya, beliau turut mencuba bidang filem pendek, termasuk watak cameo sebagai Alfred Pennyworth dalam What If Batman Was from Chennai. - Awani